Khamis, 4 Ogos 2016 | 12:05am

Ibadah wanita dalam haid

SOALAN: Minggu lalu ustaz ada membincangkan hukum wanita sedang haid tidak boleh membaca al-Quran. Saya seorang yang hafaz tiga puluh juzuk al-Quran, pada masa sama saya juga guru di sebuah sekolah tahfiz di utara tanah air. Bolehkah ustaz perincikan bagaimana wanita yang hafaz al-Quran ingin mengulang hafalan ketika haid.

JAWAPAN: Berhubung permasalahan ini, ada dua pandangan kerana pertembungan antara nas dan etika penghafaz al-Quran. Jumhur fuqaha berpendapat wanita yang dalam keadaan haid atau nifas diharamkan membaca al-Quran secara mutlak dalam semua keadaan.

Perkara ini berdasarkan hadis Ibn Umar: "Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran." (Daif al-Tirmizi)

Ibn Abbas, Imam al-Nawawi, Ibn Jarir al-Tabari, al-Syaukani, Abu Thaur yang menukilkan daripada Imam al-Syafie dalam qaul qadimnya dan Syeikh al-Azhar Ali Tantawi berpendapat, wanita yang hafaz al-Quran dibenarkan untuk mengulangi hafalan mereka ketika haid.

Bukan sekadar itu sahaja, guru dan ustazah yang haid juga boleh mengajar al-Quran seperti biasa bagi tujuan memenuhi keperluan mendidik ummah yang lebih besar maslahatnya. Jika mereka diharamkan berbuat demikian, maka banyak keburukan akan berlaku seperti hilangnya hafalan yang dihafal sekian lama.

Lebih membimbangkan lagi, sistem pendidikan al-Quran juga akan tergendala akibat cuti panjang yang diambil oleh guru yang haid.

Sementara itu, sebagai menghormati golongan yang menghafal al-Quran, maka pandangan yang terpilih daripada dua pandangan itu adalah pandangan kedua. Pandangan itu hanya membenarkan guru dan penghafaz al-Quran membaca, mengulang kaji dan mengajar al-Quran ketika haid.

Namun, perlu diingatkan bahawa hukum harus ini hanya dikhususkan untuk mereka yang menghafal al-Quran dan guru mengajar subjek al-Quran. Manakala golongan yang tidak termasuk dalam golongan berkenaan, maka hukum membaca al-Quran ketika haid adalah haram.

SOALAN: Bolehkah ustaz senaraikan perkara yang dibenarkan bagi wanita haid lakukan untuk tujuan ibadah?

JAWAPAN: Perkara yang dibenarkan untuk wanita yang haid dan nifas lakukan adalah mereka dibenarkan melakukan semua rukun serta kewajipan haji atau umrah kecuali tawaf mengelilingi Kaabah.

Mereka dibenarkan untuk berlalu (melintasi) kawasan dalam masjid dengan syarat memastikan kebersihan kawasan berkenaan terpelihara.

Mereka yang menghafal dan mengajar al-Quran adalah dibenarkan untuk memegang serta membaca al-Quran bagi memelihara hafalan daripada terlupa sementara yang lain boleh membaca serta memegang tafsir al-Quran.

Wanita haid juga digalakkan berzikir dengan ayat tertentu yang dipetik daripada sebahagian ayat al-Quran atau hadis. Mereka boleh mendengar bacaan ayat suci al-Quran yang dikumandangkan oleh orang lain sama ada di televisyen, radio dan sebagainya.

Mereka boleh melakukan semua perkara dengan suami kecuali jimak. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Lakukan apa sahaja (dalam pergaulan rumah tangga) kecuali persetubuhan."

Mereka yang biasa melakukan qiamullail di pertengahan malam boleh memperbanyakkan doa sebagai gantian kepada solat yang diharamkan ke atas wanita haid.

Berita Harian X