Rabu, 3 Ogos 2016 | 10:08pm

Melaka peruntuk lebih RM250,000 ganjaran atlet SUKMA


Atlet SUKMA ke-18 bergambar kenangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) ketika sesi kunjung hormat raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dan pemenang-pemenang pingat emas SUKMA ke-18 ke Pejabat TYT, Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Kerajaan Melaka memperuntukkan lebih RM250,000 dalam bentuk ganjaran kepada pemenang pingat dan atlet negeri itu yang memecahkan rekod pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak, bulan lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata pemenang pingat emas akan menikmati ganjaran sebanyak RM5,000, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,500).

Beliau berkata bagi pemenang pingat berpasukan, setiap atlet berkenaan akan menerima ganjaran minimum RM500 bagi pingat emas, RM300 perak dan RM150 untuk gangsa.

"Bagi atlet yang memecahkan rekod kebangsaan, ganjaran RM10,000 akan diberikan manakala memadamkan rekod SUKMA pula menerima RM5,000," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Pada SUKMA lepas, Melaka berada di kedudukan ke-10 dalam carta pungutan pingat, dengan memenangi 18 pingat emas, 11 perak dan 28 gangsa.

Temasya sukan itu juga menyaksikan pelari pecut kelahiran Melaka, Khairul Hafiz Jantan, 18, berjaya memadamkan rekod 100m kebangsaan 10.30s yang berusia 18 tahun milik Watson Nyambek, dengan catatan 10.18s, dan beliau turut dinobatkan Olahragawan Terbaik SUKMA ke-18.

Idris berkata kerajaan negeri juga akan memberi ganjaran RM5,000 serta mencadangkan pemberian pingat kebesaran negeri Melaka kepada Mohd Poad Md Kassim, jurulatih Khairul Hafiz, bagi menghargai jasa beliau melatih pelari muda itu.

Beliau turut mengingatkan kepada semua atlet muda yang meraih kejayaan pada SUKMA lepas supaya tidak dibuai dengan kejayaan dan lupa diri berikutan tumpuan kini diberikan kepada mereka.

"Mereka (atlet) perlu kekal merendah diri, kita juga akan pantau tawaran diberikan dan perkembangan atlet-atlet ini supaya mereka menjadi atlet yang mampu mengharumkan nama bukan sahaja Melaka tetapi Malaysia," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X