Rabu, 3 Ogos 2016 | 9:02pm

Peragut tegar kena tangkap lagi

KUALA LUMPUR: Walaupun baru dibebaskan dengan ikat jamin, seorang peragut tegar tidak serik dan mengulangi perbuatannya apabila dia sekali lagi ditangkap selepas meragut seorang pelancong wanita dari Asia Barat di Jalan Conlay, 26 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek menunggang motosikal bersama seorang rakan meragut beg tangan mangsa yang sedang berjalan kaki berhampiran perkarangan sebuah hotel di situ.

Susulan kes itu, polis daerah Dang Wangi menubuhkan satu pasukan khas untuk memburu kedua-dua suspek serta beberapa lagi rakan mereka yang turut aktif melakukan kegiatan sama.

Hasilnya, peragut berusia 21 tahun itu ditahan bersama tiga lagi rakan subahatnya dalam beberapa serbuan di Kundang, Gombak; Setapak dan Jalan Dang Wangi, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata semakan mendapati kesemua suspek berusia antara 19 hingga 24 tahun itu ada rekod jenayah lampau membabitkan kes ragut dan tiga daripadanya didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Salah seorang suspek sebelum ini ditangkap pada 20 Jun lalu bersabit satu kes ragut yang berlaku di hadapan sebuah gereja di Jalan Tun Sambanthan, yang mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes itu menjadi viral di media sosial.

"Suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 4 Julai dan selepas mengaku tidak bersalah, suspek dibenarkan diikat jamin RM10,000 sementara menunggu perbicaraan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program melupuskan barang kes di Balai Polis Bukit Jalil di sini, petang tadi.

Kata beliau, pihaknya memandang berat kes ini kerana suspek dikesan masih tidak serik dan terus melakukan jenayah ragut walaupun baru saja dituduh di mahkamah atas kesalahan sama.

"Kita akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) ke atasnya selain mencadangkan suspek dipakaikan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) bagi memudahkan polis mengawasi pergerakannya.

"Buat masa ini kesemua suspek direman lapan hari hingga 5 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," kata Amar Singh lagi.

Katanya, susulan penahanan keempat-empat suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 13 kes samun yang berlaku di sekitar ibu negara dengan ada di antara kes membabitkan kecederaan.

Berita Harian X