Rabu, 3 Ogos 2016 | 8:27pm

TTB anjur pertandingan pidato

KUALA TERENGGANU: Unit Transformasi Terengganu Baharu (TTB) buat julung kalinya akan menganjurkan Pertandingan Pidato TTB antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) peringkat kebangsaan pada 5 hingga 7 Ogos ini.

Seramai 40 peserta dari 20 universiti, termasuk enam IPGM akan berentap dalam pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM10,500 itu.

Pengarah Unit TTB, Che Mansor Che Kerma, berkata pertandingan itu mendapat kerjasama Sekretariat Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) yang berpusat di World Debate and Oratory Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Seramai 20 hakim, termasuk pegawai MADUM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadili pertandingan mengikut skop diiktiraf MADUM. Setiap universiti dan IPGM yang bertanding perlu menghantar dua peserta dengan seorang daripada mereka mestilah anak Terengganu," katanya di sini, hari ini.

Setiap peserta diwajibkan memilih tajuk berpandukan lapan prinsip TTB, iaitu Inklusif (suara rakyat, suara keramat), Masjid dan Surau Sebagai Sumber Penyatuan, Keluarga Bahagia, Integriti, Mesra Tapi Tegas, Disiplin Kerja Yang Tinggi, Seruan Perpaduan dan Memperkasa Pendidikan.

Che Mansor berkata, peringkat saringan akan diadakan pada 5 hingga 6 Ogos di IPG Kampus Dato Razali Ismail, di sini sebelum peringkat akhir di Dewan Besar Wisma Darul Iman pada 7 Ogos.

Katanya, johan akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 dan piala iringan.

Berita Harian X