Rabu, 3 Ogos 2016 | 8:11pm

Ibu dakwa sekolah gagal ambil tindakan kes gaduh


M Saraswari menunjukkan kesan luka pada rahang gigi anaknya, S Livandran, 17, yang dibelasah pelajar tingkatan tiga sebuah Sekolah Menengah di Alor Setar. - Foto Muhd Adib

ALOR SETAR: Seorang ibu mendakwa pentadbiran sebuah sekolah di sini gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam kes anak lelakinya diserang sekumpulan pelajar sekolah itu, dua minggu lalu.

M Saraswari, 42, berkata ia menyebabkan anaknya, S Livandaran, 17, terpaksa mengambil cuti sakit selama 14 hari kerana patah rahang kiri, cedera tapak tangan kanan, hidung dan patah satu batang gigi bawah selepas dibelasah seorang individu dari satu kumpulan pelajar lelaki Tingkatan Tiga sekolah terbabit.

Katanya, anaknya mendakwa dibelasah hampir 15 minit dalam sebuah kelas Tingkatan Dua sebelum menghubunginya supaya datang ke sekolah.

"Saya kemudian bertemu guru disiplin dan menceritakan apa yang berlaku, tetapi lelaki berusia 40-an itu memarahi anak saya pula kerana mengadu.

"Berikutan itu, saya membuat laporan polis mengenai kejadian sebelum anak dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan. Doktor mengesahkan tulang rahangnya patah dan perlu menjalani pembedahan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes terbabit.

"Pihak sekolah juga sudah mengadakan majlis permuafakatan bersama waris pelajar itu pada 21 Julai lalu di sekolah terbabit dengan dipantau Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar," katanya.

Berita Harian X