Rabu, 3 Ogos 2016 | 7:37pm

Lagi rumah panjang di Sibu musnah terbakar


KEADAAN rumah panjang yang musnah dalam kebakaran di Sibu.

SIBU: Selepas sebuah rumah panjang 39 pintu di Tanjung Penasu, Sibu, musnah terbakar pada 17 Julai lalu, sebuah lagi rumah panjang di sini berdepan nasib sama, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Rumah Panjang Charles Egat, Telok Telalo, Pulau Kerto, di sini memusnahkan keseluruhan 14 unit kediaman yang menyebabkan 130 penghuni hilang tempat tinggal.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.24 petang.

Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu yang dibantu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di lokasi yang terletak 35 kilometer dari balai pada jam 3.05 petang, didapati sederet rumah panjang 14 pintu yang dibina daripada kayu, musnah keseluruhannya. Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 3.49 petang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Siasatan masih dibuat untuk mengenalpasti punca kejadian," katanya.

Berita Harian X