Rabu, 3 Ogos 2016 | 5:38pm

The 'Speedy Jantan' perlu usaha pecah rekod sendiri


YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bersalaman dengan raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada majlis khas meraikan bintang muda diberi jolokan 'The Speedy Jantan' serta pemenang pingat emas acara olahraga, silat, wushu, badminton dan hoki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Ayer Keroh, hari ini. -Foto Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob mencabar raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan terus berusaha memecahkan rekodnya sendiri.

Berucap pada majlis khas meraikan bintang muda diberi jolokan 'The Speedy Jantan' serta pemenang pingat emas acara olahraga, silat, wushu, badminton dan hoki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18, Mohd Khalil berkata, remaja 18 tahun itu boleh mencontohi kesungguhan atlet ternama dunia yang lain.

Katanya, mereka terus berusaha memadamkan rekod peribadi pada setiap kejohanan yang disertai.

"Saingan Khairul Hafiz selepas ini adalah dirinya sendiri, dia perlu memecahkan rekod dibuatnya. Saya yakin, pada usia sekarang, dia mampu melakar kejayaan lebih besar dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun lagi.

"Seperti bintang pecut Jamaica, Usain Bolt, dia terus mencatat masa yang lebih baik. Lagenda pelari jarak sederhana England, Sebastian Coe juga disanjung kerana menjadi ikon sukan kepada masyarakat," katanya.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Berita Harian X