Rabu, 3 Ogos 2016 | 12:53pm

Wanita ditemui lemas selepas hilang 3 hari


ANGGOTA Bomba mengangkat mayat Rohani yang ditemui di muara Sungai Bundusan, Papar, pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Sabah

PAPAR: Wanita yang hilang selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Melugus, Taman Sayang, Ahad lalu, ditemui mati pagi tadi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi nahas berkenaan.

Mayat Rohani Samsudin, 50, ditemui oleh penduduk kampung di muara Sungai Bundusan dalam keadaan tertiarap, kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata berikutan itu, operasi mencari mangsa dihentikan jam 10.35 pagi tadi.

Rohani hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terjunam ke Sungai Papar pada 31 Julai lalu. Mangsa dipercayai panik lalu tertekan pedal minyak ketika membuat pusingan U di hujung jalan berhampiran sungai terbabit.

Kenderaannya berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dan penduduk kampung pada petang hari sama, namun mangsa tiada di dalamnya sebelum gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan oleh pasukan bomba, polis bersama penduduk kampung.

15 dibaca
Berita Harian X