Rabu, 3 Ogos 2016 | 8:57am

Jalur Gemilang dikibarkan di perkampungan sukan Rio

PENGARANG Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan (empat dari kanan) dan Pengurus WANCorp, Mohd Nazarudin Ali (kiri sekali) meletakkan beras untuk menyediakan bubur lambuk sempena Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn. - Foto Mohd Azren Jamaludin

RIO DE JANEIRO: Kombinasi tarian samba dan salsa menyambut kontinjen Malaysia pada majlis sambutan rasmi di Perkampungan Sukan bagi temasya Olimpik di sini.

Jalur Gemilang dinaikkan di hadapan 30 atlet, jurulatih dan pegawai dari Malaysia, selain disertai atlet dari Angola, Kanada dan Fiji yang turut berkongsi pentas untuk acara menaikkan bendera di perkampungan itu.

Pengarah Perkampungan Sukan, Mario Cilenti, mengalu-alukan ketua kontinjen negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid yang turut menyerahkan cenderahati, sebelum Jalur Gemilang dinaikkan bersama bendera Olimpik dengan diiringi lagu Negaraku.

Atlet negara yang diketuai pemenang dua pingat perak Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, terharu dengan kehangatan sambutan yang dilakukan pada waktu malam yang sejuk ketika mereka diarak keluar sambil diiringi kumpulan penari yang bertenaga.

Malaysia yang memburu pingat emas pertama di temasya sukan paling besar di dunia, akan mengambil bahagian dalam 11 acara di Sukan Olimpik yang akan bermula Jumaat ini.

Setakat ini, Malaysia sudah memenangi enam pingat di Sukan Olimpik sejak mula menyertainya bermula dari edisi Melbourne pada 1956, menerusi acara badminton dan serta terjun tetapi masih menunggu pingat emas sulung daripada temasya itu. - BERNAMA

Berita Harian X