Selasa, 2 Ogos 2016 | 12:01am
Pelakon, Mimi Ernida pada pertunjukan fesyen Twenty2 Raya 2016 di Publika. - Foto Adi Safri
Pelakon, Mimi Ernida tidak terkilan dengan tawaran yang diterima walaupun menyimpan hasrat menjadi heroin. - Foto Minira Abdul Ghani

Mimi Ernida teringin jadi heroin

TANYALAH mana-mana pelakon di luar sana, pastinya masing-masing teringin untuk menyahut cabaran menjayakan watak utama dalam drama, filem mahupun teater. Ia umpama penanda aras kepada kerjaya seni lakon yang diceburi mereka.

Begitu juga dengan Mimi Ernida yang masih tertunggu-tunggu tawaran untuknya berbuat demikian. Selepas enam tahun membabitkan diri dalam arena lakonan, wanita ini belum berpeluang diketengahkan sebagai bintang utama atau heroin.

Malah, sampai sekarang pemilik nama penuh Nor Shamimi Ernida Mansori, 26, ini belum berasakan pencapaiannya dalam bidang itu dapat dibanggakan. Bukan tidak memiliki pakej sempurna, namun tuah dan rezeki untuk diberi mandat penting itu belum menyebelahinya.

Memulakan langkah dalam seni sebagai peserta program Gadis Melayu di TV9 pada 2010, nama Mimi hanya mula menjadi sebutan apabila drama bersiri dibintanginya, Rindu Awak 200%, mendapat sambutan. Melakonkan watak pembantu sebagai Daria, iaitu rakan baik kepada Armel Aisyah lakonan Ayda Jebat, sedikit sebanyak produk itu membuatkan sebahagian peminat mengenalinya.

Pelakon, Mimi Ernida atau nama sebenar, Nor Shamimi Ernida Mansor. - Foto Minira Abdul Ghani

Tahun lalu, Mimi berpeluang mengembangkan bakat lakonannya ke layar perak buat julung kali dengan membintangi filem Polis Evo, arahan Ghaz Abu Bakar. Membariskan bintang hebat seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak, Wan Hanafi Su dan Nora Danish, ia berjaya mencatat kutipan pecah panggung RM17 juta. Sayangnya, filem terbabit juga belum mampu meledakkan nama si manis ini.

Bukan tidak pernah Mimi menyimpan keinginan menerajui drama atau filem, cuma tawaran lebih condong diberikan kepada bakat baru dan muda daripadanya.

"Berbohong kalau saya cakap diri ini tidak pernah bergelut untuk menempatkan diri di arena seni. Saya bukan melalui jalan mudah. Cuma, saya enggan terlalu memikirkan kenapa peluang untuk memegang watak heroin belum tiba. Takut nanti, ia hanya akan membuatkan saya terfikir mengenai perkara negatif saja. Jadi, saya melihatnya dari sudut positif dan menganggap mungkin rezeki saya hanya sekadar pelakon pembantu saja.

"Persaingan besar di kalangan pelakon baharu turut menyebabkan saya sukar mendapat peluang, walaupun tidak pernah memilih watak. Mungkin juga ruang untuk saya berbuat demikian belum datang kerana masih banyak kekurangan yang ada pada diri saya. Begitupun sebagai pelakon, berilah apa saja watak, sama ada utama atau pembantu, saya tetap terima dengan hati terbuka.

Pelakon, Mimi Ernida menunggu tawaran heroin. - Foto Minira Abdul Ghani

Pelakon, Mimi Ernida syukur dengan tawaran yang diterima. - Foto Minira Abdul Ghani

"Saya juga takkan mudah patah semangat walau apa juga yang berlaku. Sebaliknya saya berjanji untuk berusaha memperbaiki kekurangan dalam lakonan. Namun, sebagai pelakon saya tidak pernah putus berharap semoga suatu hari nanti bakat lakonan lebih menyerlah dan tidak terikat watak pembantu saja," katanya yang kini sedang menjayakan penggambaran drama Cinta Tangkap Muat.

Pada masa sama, Mimi bersyukur kerana ada saja tawaran berlakon yang diterima.

"Alhamdulillah saban bulan, ada saja tawaran berlakon diterima sekalipun tiada yang memilih saya untuk menjadi heroin. Jika hendak diikut rasa kecewa apabila belum berpeluang memegang watak utama, tentu saya sudah lama berhenti berlakon. Begitupun, saya tidak boleh berbuat begitu. Saya berlakon pun kerana mencari rezeki untuk keluarga.

"Kalau saya nak berfikiran negatif dan asyik mengeluh, bimbang nanti saya tidak akan ke mana-mana. Jadi, eloklah saya bersyukur dan yakin dengan perancangan terbaik sudah diaturkan Tuhan," kata anak sulung daripada empat beradik berasal dari Alor Setar, Kedah ini.

Seperti kebanyakan artis yang mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, Mimi juga tidak mahu ketinggalan melakukan perkara sama. Apatah lagi ia mampu menjadi pintu rezeki buat mereka.

"Saya masih lagi dalam perancangan untuk memulakan perniagaan sendiri. Saya pun sedar, berlakon ini pun belum tentu selama-lamanya," katanya.

Berita Harian X