Isnin, 1 Ogos 2016 | 6:00pm

Melaka sumbang RM10,000 kepada Khairul Hafiz


Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kiri) menyambut kepulangan Raja Pecut baharu Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 dan Olahragawan SUKMA 2016, Khairul Hafiz Jantan, 18, bersama ibubapanya, Norliza Muhamat, 41, (kanan) dan Jantan Ramli, 48, (kiri) serta adiknya Noor Khairina, 12, (dua dari kanan) di Ayer Keroh. - Foto Muhammad Hatim Manan

AYER KEROH: Kerajaan Melaka mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Khairul Hafiz Jantan kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara larian 100 meter pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak minggu lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, turut mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM5,000 untuk setiap pingat emas diperoleh Khairul Hafiz dan atlet lain.

Katanya, sumbangan itu sebagai penghargaan kepada atlet berkenaan yang berjaya membawa nama Melaka ke peringkat tertinggi dalam bidang sukan di negara ini.

Turut menerima sumbangan RM5,000 ialah jurulatih atlet lumba lari, Mohd Poad Md Kassim.

"Kita bangga dengan kejayaan ini dan berharap ia menjadi pendorong semangat kepada atlet lain lebih berjaya dalam bidang ini pada masa depan," katanya ketika berucap pada majlis meraikan atlet dan kontinjen SUKMA, di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, semua atlet yang berjaya menyumbang pingat menerima sijil penghargaan daripada Idris.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim serta Ketua Kontijen Melaka, Datuk Ng Choon Koon.

Idris berkata, sumbangan kepada atlet berkenaan adalah janji kerajaan negeri sebelum ini yang akan memberi insentif wang tunai RM5,000 kepada pemenang emas, RM2,000 bagi perak dan RM1,500 (gangsa).

24 dibaca
Berita Harian X