Isnin, 1 Ogos 2016 | 5:12pm

Dua beranak antara 3 ditahan edar dadah


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPK) Pahang Supt Lam Thiam Huat (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas dalam kereta di Bandar Pusat Jengka Jumaat lepas, pada sidang media di IPK Pahang hari ini. Nilai anggaran dadah itu ialah RM228,903. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Polis menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 46 tahun, termasuk dua beranak bersama dadah bernilai RM228,903 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Bandar Pusat Jengka, Maran, pagi Jumaat lalu.

Serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu disertai pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Ketua JSJN Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat, berkata dalam serbuan itu polis menahan kereta BMW dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan dijalankan membawa kepada penemuan kotak berisi 10 bungkusan paket plastik seberat 4.5 kilogram disyaki berisi dadah jenis heroin dan satu paket plastik seberat 404.76 gram disyaki dadah jenis syabu.

"Semua dadah itu dipercayai untuk pasaran daerah Maran, Temerloh dan Jerantut bagi kegunaan 15,000 orang penagih dadah.

"Suspek yang ditahan termasuk ayah berusia 46 tahun dan anaknya berusia 24 tahun serta kenalan mereka berusia 38 tahun yang memandu kereta berkenaan," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Thiam Huat berkata, semua suspek berasal dari Kedah dan singgah di Pulau Pinang bagi mengambil bekalan dadah untuk diedarkan di negeri ini.

Katanya, suspek berusia 46 tahun mengaku ahli perniagaan, manakala dua lagi suspek mendakwa bekerja sebagai pemandu lori.

20 dibaca
Berita Harian X