Isnin, 1 Ogos 2016 | 5:02pm

Bekas wartawan BH parah terbabit kemalangan


Isteri kepada bekas wartawan Berita Harian Haspaizi Mohd Zain, Noorulnadia Abdullah 34 yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di jalan Kuala Lipis - Merapoh ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS). - Foto Nazirul Roselan

KUANTAN: Bekas wartawan BH, Haspaizi Mohd Zain parah apabila kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Lipis-Merapoh, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Abdul Rashid Md Daud, berkata kemalangan berlaku jam 2.15 pagi ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki Haspaizi bergesel dengan lori kecil.

"Berdasarkan laporan awal, MPV itu dipandu isteri mangsa, Noorulnadia Abdullah dan sedang dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke bandar Raub.

"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dagu, mata kiri, luka pada bahagian atas bibir dan mengalami pendarahan hidung.

"Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Abdul Rashid berkata, mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan awal dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Noorulnadia ketika dihubungi berkata, suaminya kini berada di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh untuk menjalani ujian imbasan pada bahagian kepala.

"Ujian imbasan awal sudah dilakukan di Hospital Lipis pagi tadi dan setakat ini, tidak ada sebarang masalah pada bahagian organ dalamannya.

"Saya dimaklumkan doktor bahawa ujian imbasan lebih teliti perlu dilakukan dan sebab itu mereka menghantar suami ke HOSHAH. Jika semua selesai dan tidak ada masalah membimbangkan, mungkin suami akan dimasukkan ke wad di Hospital Lipis untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, lima anak mereka berusia antara empat hingga 11 tahun berada dalam kenderaan, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Berita Harian X