Isnin, 1 Ogos 2016 | 3:08pm

Guru dinasihat jangan sensasikan maklumat di laman sosial


TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ahmad Tajudin Jab (kiri), menerima cenderahati daripada Pengarah Institut Pelajaran Vokasional Southern 3 Thailand, Somthong Jatuthong di Majlis penutup pertukaran pelajar Kolej Vokasional Kedah/Perlis dengan pelajar Kolej Vokasional Thailand di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar. - Foto Muhd Adib

ALOR SETAR: Guru di negara ini diingatkan supaya tidak mensensasikan maklumat tidak tepat berhubung sebarang insiden di sekolah masing-masing sehingga menjadi viral di laman sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahmad Tajudin Jab, berkata peringatan itu harus dipatuhi bagi mengelak guru berdepan sebarang tindakan sama ada di peringkat sekolah atau orang awam.

Mengambil contoh insiden seorang ustazah didakwa menampar pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Gajah, Kelantan, kira-kira dua minggu lalu, beliau berkata, kes itu menjadi berlarutan apabila seorang guru turut tampil menyebarkan maklumat di laman sosial.

"Apabila berlaku sesuatu insiden, ada dalam kalangan guru suka sensasikannya, contohnya insiden guru tampar murid di Kelantan sedangkan isu itu sebenarnya sudah diselesaikan di peringkat sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Mungkin guru itu tidak dapat maklumat yang betul dan tindakannya itu memberi kesan tidak baik kepada keluarga (pelajar) hingga mereka mahu saman (guru).

"Jadi, guru perlu bertanggungjawab atas maklumat disebarkan termasuk risiko disaman," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Tajudin merasmikan majlis penutup program Penukaran Pelajar SEA-TVET Malaysia-Thailand di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, di sini.

Sementara itu, Tajudin berkata, seramai 2,200 pelajar perintis di 15 Kolej Vokasional di negara ini bakal memperoleh Diploma Vokasional Malaysia masing-masing pada 23 hingga 25 Ogos ini melalui 16 bidang ditawarkan.

32 dibaca
Berita Harian X