Isnin, 1 Ogos 2016 | 2:41pm

Selangor naikkan insentif kemenangan SUKMA kepada RM1.1j


MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada kontinjen Selangor yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) Darul Ehsan Ke-13 di Bangunan Dewan Undangan Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menaikkan bayaran insentif kemenangan atletnya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) daripada RM958,000 kepada RM1.1 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan perkara itu semasa sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan pembayaran insentif itu selepas kejayaan kontinjen Selangor menjuarai temasya dwitahunan di Sarawak yang berakhir malam tadi.

"Insentif tambahan akan diberikan kepada pemenang pingat emas iaitu RM5,000 seorang bagi individu dan bagi berpasukan akan menerima RM2,000 ke RM3,000 setiap sorang.

"Kejayaan ini adalah hasil perancangan strategik, latihan bersepadu, tenaga jurulatih mahir serta kerjasama baik dengan persatuan sukan dan pegawai sukan," katanya.

Pada temasya edisi ke-18 selama 11 hari itu, kontinjen Selangor kembali muncul sebagai juara keseluruhan dengan mengumpul 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa manakala tuan rumah, Sarawak di tempat kedua dengan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa.

Sementara kontinjen Terengganu di tempat ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Kontinjen merah-kuning sebelum ini sudah lapan kali muncul sebagai juara keseluruhan iaitu pada 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan 2013.

Mohamed Azmin turut menyampaikan titah ucapan tahniah daripada Sultan Selangor kepada kontinjen negeri itu yang berjaya mengharumkan nama Selangor.

Beliau dalam pada itu menambah kerajaan negeri juga akan menaik taraf kemudahan sukan di negeri itu bagi memberi keselesaan kepada para atlet. - BERNAMA

Berita Harian X