Ahad, 31 Julai 2016 | 7:33pm

Subsidi galak penjawat awam guna khidmat TASKA berdaftar


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim beramah mesra dengan kanak-kanak ketika mengadakan lawatan ke Tadika dan Pusat Jagaan Imtiyaz Ummu Aishah, Kuala Terengganu, petang ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menyediakan subsidi antara RM250 dan RM180 sebagai galakan untuk penjawat awam menghantar anak ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata penjawat awam yang berpendapatan per kapita RM500 dan bertugas di kawasan bandar raya, RM400 di kawasan perbandaran serta RM300 dan bertugas di daerah akan diberi subsidi sebanyak RM250 jika menghantar anak ke TASKA swasta.

Katanya, penjawat awam yang berpendapatan RM2,000 dan bertugas di kawasan bandar raya dan yang berpendapatan RM1,200 serta bertugas di luar bandar akan menerima subsidi sebanyak RM180 jika menghantar anak mereka di TASKA 1Malaysia.

"Subsidi sebanyak RM180 juga diberikan kepada penjawat awam yang berpendapatan sebanyak RM5,000 sebulan jika menghantar anak mereka di TASKA di tempat kerja," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tadika dan Pusat Jagaan Imtiyaz Ummu Aishah, di sini, petang ini.

Turut hadir Pengerusi Pembangunan Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Rohani berkata, peruntukan untuk subsidi itu disediakan Kementerian Kewangan dan disalurkan kepada JKM.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 3,697 TASKA yang berdaftar dengan JKM di seluruh negeri.

"Hasil pemantauan dilakukan JKM mendapati terdapat lebih 200 Taska di seluruh negara yang belum berdaftar dengan JKM.

"Subsidi itu disediakan bagi menggalakkan penjawat awam yang mempunyai anak berusia di bawah empat tahun menghantar ke TASKA yang berdaftar," katanya.

Rohani berkata, ibu bapa terutama penjawat awam yang bercadang untuk menghantar anak diminta membuat semakan dengan JKM bagi menentukan TASKA berdaftar yang boleh menjamin keselamatan anak mereka.

225 dibaca
Berita Harian X