Ahad, 31 Julai 2016 | 5:03pm

1 maut nahas 5 kenderaan


KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) berhampiran Stadium Hang Jebat, di sini, awal pagi tadi.

MELAKA: Seorang pemuda maut dan tiga parah selepas terbabit dalam nahas lima kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) berhampiran Stadium Hang Jebat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.08 pagi itu, mangsa, Muhammad Faiz Rosni, 21, maut di tempat kejadian dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dan empat motosikal masing-masing jenis Yamaha 135 LC dan RXZ, Kawasaki Ninja serta Modenas Kriss.

Difahamkan, Muhammad Faiz menunggang Yamaha 135 LC dipercayai dalam perjalanan dari lampu isyarat Stadium Hang Jebat menghala ke Bertam Hulu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Kominsioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata nahas berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa merempuh kereta Perodua Alza di depannya yang dipandu guru berusia 32 tahun.

"Mangsa kemudian terjatuh dan tiga penunggang motosikal yang datang dari arah belakangnya tidak sempat memberhentikan kenderaan masing-masing menyebabkan mereka saling berlanggar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shaikh Abdul Adzis berkata, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan tiga penunggang motosikal masing-masing berusia 19 dan 29 tahun parah, manakala pemandu kereta PERODUA Alza tidak mengalami kecederaan.

"Mayat Muhammad Faiz dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan mangsa yang lain turut dirawat di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X