Ahad, 31 Julai 2016 | 12:00am

Usaha terjemah karya sastera Malaysia belum cukup


DR Victor A Pogadaev

SELAIN ahli akademik dan penyusun kamus, Dr Victor A Pogadaev, dikenali sebagai antara pembina jambatan Malaysia dengan Russia melalui penterjemahan sastera. Wartawan Sastera & Budaya, Siti Haliza Yusop, bertemu Pogadaev bagi mengetahui bagaimana pandangannya terhadap usaha penterjemahan di negara ini sepanjang bermastautin di negara ini sejak 15 tahun lalu.

S: Difahamkan Dr Pogadaev akan pulang ke Russia akhir bulan ini dan tidak akan kembali lagi ke Malaysia. Apakah sebab keputusan ini diambil?

J: Sebabnya sangat sederhana. Kontrak dengan Universiti Malaya (UM) tamat dan saya mengambil keputusan balik ke kampung halaman. Malaysia negara sangat cantik dan rakyat ramah, tetapi bak peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.

Masa 15 tahun di negara ini sangat menarik dan amat produktif. Saya sempat mengajar ratusan pelajar yang menimba pengetahuan dalam bahasa Russia, budaya dan tamadunnya serta linguistik am, selain mengerjakan beberapa projek ilmiah termasuk Ensiklopedia Budaya Dunia Melayu, menyusun beberapa kamus bahasa Melayu, menerbitkan puluhan artikel bahasa, sastera dan budaya Malaysia.

Selain itu, saya bergiat dalam bidang penterjemahan, kebanyakannya menerusi kerjasama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Saya berhasil berjumpa dan berkenalan dengan ramai sasterawan dan seniman Malaysia serta mengerti dengan lebih mendalam mengenai aspirasi dan pencapaian mereka. Saya juga bercakap sepuasnya dalam bahasa Melayu yang menurut saya adalah antara bahasa yang tercantik di dunia.

Masa dihabiskan di negara ini akan terukir dalam ingatan untuk selama-lamanya. Saya belum menentukan perencanaan, mungkin akan meneruskan kerjaya pendidikan di Universiti Negara Moscow atau menumpukan perhatian kepada kegiatan penyelidikan dan penterjemahan.

S: Bagaimana Dr Pogadaev melihat perkembangan penterjemahan di negara ini sepanjang menetap di Malaysia?

J: Saya melihat banyak kemajuan dalam bidang penterjemahan dengan penubuhan ITBM. Sangat mengagumkan bahawa selama satu dekad sahaja di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khair Ngadiron, ia giat melakukan proses penterjemahan sastera dunia kepada bahasa Melayu dan sastera Malaysia kepada beberapa bahasa asing termasuk Russia.

Berkat usaha ITBM, Mawar Emas - Bunga Rampai Sastera Russia, iaitu nama yang dipinjam daripada tajuk cerpen Konstantin Paustovsky diterbitkan, sekali gus membolehkan pembaca Malaysia berkenalan dengan cerita rakyat Russia, petikan daripada epik Sadko dan Hikayat Tentera Putera Igor untuk kali pertamanya.

Naskhah itu memuatkan karya 37 penulis dan penyair mulai Alexander Pushkin dan Anton Chekhov sampai kepada Iosif Brodsky dan Aleksander Dudoladov dengan nota ringkas biografi kreatif mereka.

S: Ada penterjemah berdepan ketidakpuasan pengarang asal membabitkan karya mereka yang diterjemah, malah Dr sendiri turut pernah melalui perkara sama. Mengapakah ini berlaku?

J: Saya tidak mahu menyelami masalah itu lagi kerana sudah pernah memaparkan pendirian mengenainya dalam beberapa artikel diterbitkan oleh BH. Apa yang terjadi dahulu adalah menurut pendapat saya cuma kesalahfahaman, bukan hal yang disengajakan.

Pada amnya, saya menterjemahkan karya puluhan penyair dan penulis Melayu ke dalam bahasa Russia dan mereka menghargai kerja saya amat tinggi kerana dalam kerja penterjemahan saya mengikuti petua pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Iosif Brodsky: "Apabila anda mula menterjemahkan, maka anda mesti melukiskan warna setiap daun pokok tanpa memandang apakah daun itu terang atau pudar."

Betul juga kata penyair Russia, Alexander Pushkin yang membandingkan penterjemah dengan kuda yang ditukarkan di stesen tamadun. Jelaslah tanpa penterjemah, dialog antara tamadun adalah mustahil.

S: Malaysia tidak kurang dengan karya sastera hebat yang diterjemahkan, tetapi mengapakah hadiah sastera antarabangsa dilihat jauh dari gapaian berbanding negara berjiran misalnya Indonesia?

J: Memang begitu. Karya SN seperti Datuk Usman Awang, Datuk Abdullah Hussain, Prof Emeritus Shahnon Ahmad, Datuk A Samad Said, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah Kemala dan Datuk Dr Anwar Ridhwan menurut gaya artistik, bahasa dan skop penyertaan bertaraf antarabangsa dan agak terkenal, tetapi usaha untuk memperkenalkannya di gelanggang antarabangsa kiranya belum mencukupi.

Maksud saya penterjemahan karya mereka ke bahasa utama dunia, penyelenggaraan seminar dan persidangan antarabangsa terutama di luar negeri, penyertaan dalam pameran buku di pelbagai pelusuk dunia.

Saya fikir ITBM mengadakan kegiatan ke arah yang betul dan ada baiknya usaha itu disokong dan dituruti oleh pihak lain termasuk universiti awam (UA).

37 dibaca
Berita Harian X