Sabtu, 30 Julai 2016 | 12:00am

Laksa tempoyak ikan patin tidak mengecewakan


EZLIN Zabri dan Chef Azman Zainal Azinam bersama menu istimewa di Restoran The Chef, Kota Kemuning. - Foto Osman Adnan

KEDENGARAN pelik tetapi itulah realitinya. Seumur hidup penulis belum pernah mencuba laksa tempoyak, malah tidak pernah terfikir ia mampu menjadi sajian menyelerakan.

Apabila dipelawa pemilik merangkap chef bagi restoran The Chef (TC), Azman Zainal Azinam menikmatinya, perasaan cuak muncul kerana khuatir masam kuah tempoyak 'membunuh' pelbagai rasa campuran cili, lemak manis hirisan timun dan bawang, salad, bawang, telur rebus termasuk daun kesum yang dianggap kunci ramuan keenakan semangkuk laksa.

Namun, selepas suapan pertama, deria rasa bagai dipukau untuk lebih menikmati kelazatan hidangan unik ditawarkan restoran ini.

"Saya akui tidak dapat lari dari gulai tempoyak yang menjadi kegemaran orang dari Perak. Sedang menghirup kuahnya, timbul ilham untuk menjadikan kuah laksa pula.

Cara masakan masih sama macam menyediakan gulai tempoyak, cuma kita tambah pes cili, salad, daun pudina, timun ladang, telur puyuh dan potongan halus cili padi kalau nak rasa pedas," kata Azman yang berasal dari Manjoi, Perak.

Berpengalaman 30 tahun sebagai penyelia masakan di restoran dan hotel, Azman berkata untuk menghidangkan rasa masam tetapi sedap, dia menggunakan ikan patin terpilih dan hanya mengenakan bayaran RM12.90 semangkuk.


EZLIN Zabri (tengah) dan Chef Azman Zainal Azinam (tiga dari kiri) bersama krew Restoran The Chef, Kota Kemuning. - Foto Osman Adnan

Hidangan berkelas tinggi

Selain laksa tempoyak ikan patin, restoran The Chef menyediakan pelbagai menu istimewa seperti Chicken Feet Chowder, Lamb Stew Navarin, Chef American Fried Rice, spageti sambal, salmon panggang, kepak ayam dihidangkan bersama dua campuran sos cukup mengecurkan liur.

Memanglah, selayang pandang, ia seperti senarai hidangan di restoran mewah bertaraf lima bintang atau restoran terkemuka di ibu kota tersohor dunia.

Azman berkata, dia sebenarnya hanya memanfaatkan ramuan biasa yang mudah dan walaupun murah tetapi berusaha meningkatkan kualiti rasanya ke tahap terbaik.

"Saya menggunakan bahan masakan yang mudah dan murah. Misalnya, Chicken Feet Chowder hanya kaki ayam yang dimasak sup bersama campuran rempah, sayur dan krim. Bauran rasa lemak berkrim menjadikannya lebih enak dimakan bersama roti bawang putih selain lebih mesra dengan tekak kanak-kanak," katanya.

Masak Minang, daging bakar

Lamb Stew Navarin yang mengambil inspirasi masakan tradisi masyarakat Ireland menjadi pilihan penggemar daging kambing yang inginkan hidangan kaya khasiat.

Nasi goreng dimasak ala selera Amerika atau nama rasmi di menu, Chef American Fried Rice memberikan pengalaman rasa baharu buat pelanggan.

Dinikmati bersama labu panggang dan sosej ayam, kunci kelazatan hidangan terletak kepada nasinya yang digoreng dengan mentega sebelum digaul bersama jagung bakar manakala telur mata goreng menjadikan suapan lebih kencang.

"Ia biasanya disertakan dengan sup kosong bagi mengimbangkan kemewahan ramuan juga rasanya," katanya.

Menu lain yang boleh pelanggan cuba ialah nasi campur dengan lauk pauk tempatan antaranya, daging, ayam dan ikan bakar dicicah bersama air asam istimewa, masak Minang urat tunjang kaki lembu, asam pedas tulang dan daging tetel, masak lemak nenas dengan ikan masin, ayam masak merah dan banyak lagi.

Selain makanan sedap, persekitaran yang tenang menjadi faktor penting untuk menggamit kedatangan pelanggan.

Menyedari itu, The Chef tampil selesa dan menyejukkan jiwa menerusi tema penataan fusion Barat. Pengusahanya, Ezlin Zabri bijak memanfaatkan paduan biru langit, hijau dan coklat tanah bagi mencipta elemen suasana tenang namun menyerlahkan karektor moden dan menyeronokkan.

"Biru langit di siling mencipta kesan luas secara ilusi dilihat mantap bergandingan dengan hijau dan warna tanah. Ia menghadirkan suasana santai untuk pelanggan," katanya.

INFO: Restoran The Chef

Lokasi: Persiaran Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam

Waktu Operasi: 10 pagi hingga 10 malam

Menu Istimewa:

* Laksa Tempoyak

* Lamb Stew Navarin

* Sup kaki ayam

* Nasi Goreng Amerika

* Daging, ayam dan ikan bakar cicah air asam

* Masakan Minang

Facebook: The ChefCafe

Berita Harian X