Jumaat, 29 Julai 2016 | 3:18pm

Khairul kini digelar 'The Flying Youth': Idris


PELARI pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan meraikan kemenangannya dalam acara 200m temasya SUKMA di Sarawak, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

MELAKA: 'The Flying Youth'. Itu jolokan diberikan kepada pelari pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan selepas berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara 100 meter pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak.

Pada sebelah pagi tadi di stadium sama, anak kelahiran Melaka ini turut mencatat rekod baharu bagi acara 200m temasya sukan berkenaan.

Gelaran baharu itu diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron sebagai galakan kepada remaja berkenaan yang kini menjadi ikon golongan muda dalam bidang sukan olahraga.

"Dunia sudah saksikan kejayaan beliau dan saya berbangga apabila beliau diiktiraf sebagai anak muda Melaka yang terpantas di Malaysia.

"The Flying Youth atau orang muda paling laju layak diberi gelaran kepada beliau (Khairul Hafiz).

"Saya yakin, beliau bersama beberapa rakan, termasuk Badrul Hisyam Ab Manap mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini, sekali gus akan membawa nama Melaka dan Malaysia dalam saingan lebih besar seperti Sukan Sea, Sukan Asia seterusnya Sukan Olimpik," katanya ketika ditemui, di sini, sebentar tadi.

Khairul Hafiz meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter ketika meraih pingat emas SUKMA ke-18 di Stadium Sarawak menerusi catatan 10.18s pada Rabu lalu.

Rekod lama dipegang Watson Nyambek iaitu 10.30s kira-kira 18 tahun lalu.

Bagi acara 200m, dia turut merakamkan rekod baharu kejohanan menerusi catatan 21.03s. Rekod berkenaan sebelum ini dipegang oleh Nazmizan Mohamad iaitu 21.33s pada 2002 di SUKMA Sabah.

Sebelum ini, pelari remaja terpantas Asia dan mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

Berita Harian X