Khamis, 28 Julai 2016 | 5:59pm

PDRM puas benam Terengganu

PEMAIN Terengganu, Issey Farran Nakajima (kiri) mengasak pemain PDRM, Amir Saiful Baderli pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Kemenangan ke atas Terengganu cukup bermakna buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila berjaya melonjak pasukan itu daripada zon bahaya.

Pengendali PDRM, Mohd Fauzi Pilus, mengakui gembira dengan kejayaan yang diraih pasukannya apatah lagi kemenangan itu dirakam di gelanggang lawan.

Begitupun, beliau cuma mengharapkan anak buahnya tidak terlalu dibuai mimpi sebaliknya dapat mengekalkan rentak permainan dalam setiap perlawanan yang ditempuhi.

"Untuk perlawanan malam ini (malam tadi), saya gembira dan berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan sehingga berjaya meraih tiga mata penuh di tempat lawan.

"Namun, apa yang merisaukan saya apabila pasukan tidak dapat mengekalkan momentum permainan dan menuntut pemain mengatasi masalah ini," katanya yang ditemui selepas perlawanan itu.

Pada aksi malam tadi, PDRM yang menghuni tangga tercorot liga mengejutkan Terengganu 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.

Dua jaringan The Cops terhasil pada separuh masa kedua masing-masing disumbang pemain import kelahiran Singapura, Muhamad Safuwan Baharudin pada minit ke-58 sebelum Guilherme De Paula meledak gol kemenangan pada minit 66.

Mohd Fauzi berkata, kejayaan pasukannya meraih kemenangan ke atas Terengganu mampu menyuntik moral anak buahnya yang akan membuat perhitungan dengan PKNS dalam kempen Piala Malaysia, Sabtu ini.

"Kita mempunyai masa dua hari sebelum bertemu PKNS dan akan melihat semula sama ada mengekalkan barisan yang sedia ada bergantung kepada kecergasan pemain," katanya.

Berita Harian X