Khamis, 28 Julai 2016 | 5:24pm

Dipenjara 4 tahun miliki pistol, peluru


T Dinesh dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah memiliki dua pucuk pistol dan 72 peluru pelbagai jenis. - Foto Rahmat Othman

ALOR SETAR: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dua pucuk pistol dan 72 peluru pelbagai jenis di Bukit Kayu Hitam di sini, tahun lalu.

T Dinesh, 30, yang bekerja sendiri mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dan pindaan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bagi pertuduhan pilihan, Dinesh dituduh memiliki masing-masing sepucuk pistol semi automatik jenis CZ2075 RAM 9X19 warna hitam dan pistol jenis Beretta MCD 950-B-CAL 6.35 warna perak tanpa lesen atau permit sah.

Pertuduhan kedua ialah memiliki 50 butir peluru Bullet Master 9mm dan 22 butir peluru hidup jenis Win 25 auto tanpa lesen sah.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Point A, Pusat Kawalan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada jam 2.50 petang, 17 Julai 2015.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Berita Harian X