Khamis, 28 Julai 2016 | 4:05pm
ABU Hassan Shaari Baharuddin, 63, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukum penjara sehari dan denda RM600 kerana kesalahan menampar kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Warga tua tampar budak kena jel, denda

AYER KEROH: Seorang warga tua dipenjara sehari dan denda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan menampar seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun kerana bermain di ladang kelapa miliknya.

Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik menjatuhkan hukuman itu ke atas Abu Hassan Shaari Baharuddin, 63, yang mengaku bersalah atas tuduhan terhadapnya.

Tertuduh didakwa menampar mangsa di Batu 5 3/4, Lorong Satu, Bukit Rambai, kira-kira jam 4.25 petang, 5 Jun lalu.

Abu Hassan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Hassan merayu mahkamah mengurangkan hukuman penjara ke atasnya.

Bagaimanapun, Norshazwani memohon hukuman bersifat pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Selepas mendengar rayuan dan permohonan kedua-dua pihak, Mohd Asri menjatuhkan hukuman penjara sehari dari tarikh sabit kesalahan dan denda RM600 terhadap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Berita Harian X