Selasa, 26 Julai 2016 | 11:24pm

9 militan JMB dibunuh polis Bangladesh

ANGGOTA polis mengawal pintu masuk tempat persembunyian disyaki anggota militan di ibu kota Bangladesh.

DHAKA: Polis menyerbu sebuah tempat persembunyian disyaki anggota militan di ibu kota Bangladesh hari ini, membunuh sembilan lelaki dan merampas bahan letupan, revolver serta bendera hitam.

Pihak berkuasa sedang menyiasat hubungan lelaki terbabit namun bukti menunjukkan mereka kemungkinan menganggotai kumpulan tempatan diharamkan Jumatul Mujahedeen Bangladesh (JMB), kata ketua polis Bangladesh, AKM Shahidul Hoque.

JMB dipersalahkan dalam serangan 1 Julai lalu ke atas sebuah restoran di kawasan diplomatik Gulshan di sini di mana 20 warga asing termasuk rakyat Itali dan Jepun, dibunuh lelaki bersenjata.

"Kami menemui mereka berpakaian hitam, menyokong dakwaan mereka milik kumpulan sama terbabit dalam serangan di Gulshan," kata Hoque.

Militan IS mengaku bertanggungjawab dalam insiden kepungan restoran dan serangan sebelumnya ke atas blogger ateis, warga asing dan kumpulan minoriti, namun pihak berkuasa sebaliknya bertegas kumpulan itu tidak wujud di Bangladesh.

Sebaliknya, kerajaan menyalahkan militan tempatan termasuk JMB. -AP

Berita Harian X