Selasa, 26 Julai 2016 | 8:00pm

Malaysia diiktiraf destinasi terbaik pelancongan Islam


TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) pada majlis perasmian Seminar Pelancongan Islam di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

MASJID TANAH: Malaysia menduduki tempat pertama sebagai destinasi terbaik dunia dari segi pelancongan Islam, menurut laporan portal pelancongan, Islam CrescentRating.

Pilihan portal yang berpangkalan di Singapura itu berdasarkan kesesuaian destinasi dan keperluan percutian keluarga, kemudahan dan perkhidmatan untuk pelancong Islam, selain inisiatif pemasaran dan promosi untuk destinasi percutian keluarga.

Antara negara destinasi terbaik yang lain ialah Turki, Arab Saudi dan Iran.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata kajian penilaian itu memberi tumpuan kepada keperluan utama kepada pengembara Muslim, seperti penyediaan surau, sejadah, penanda arah kiblat di hotel dan tempat penginapan serta Hentian Rawat dan Rehat (R&R).

"Kejayaan ini (destinasi pelancongan Islam popular) berjaya kita (Malaysia) kekalkan selama enam tahun berturut-turut.

"Selain itu, pelancong yang datang dari pelbagai negara juga berpendapat negara ini memudahkan mereka mendapatkan sumber makanan halal yang disahkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pelancongan Islam di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Zulkifly Md Said, Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Amirul Ariffin Md Nasir dan Naib Canselor KUIM, Prof Dr Mohd Taib Dora.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, mengikut rekod pelancong dari Arab Saudi adalah yang paling berbelanja tinggi ketika berada di negara ini dengan purata jumlah perbelanjaan perkapita RM9,459 diikuti Kuwait (RM8,490), Oman (RM7,900), Emiriyah Arab Bersatu (RM7,390) dan Iran (RM5,880).

"Susulan kejayaan ini, pihak kementerian menyasarkan kedatangan pelancong Islam ke negara ini meningkat kepada 5.5 juta setahun pada masa akan datang, berbanding 5.2 juta pada masa kini," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X