Selasa, 26 Julai 2016 | 4:41pm

Pondok tol sama di Plaza Tol Ayer Keroh dirempuh lagi


PLAZA tol yang dilanggar sebuah lori treler di Plaza Tol Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Kurang dalam tempoh tiga minggu, sebuah pondok tol di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, sekali lagi musnah apabila dirempuh sebuah treler, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, treler membawa muatan tanah liat dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka itu merempuh pondok tol berkenaan, menyebabkannya runtuh selepas bergesel pada bahagian kiri belakang kenderaan berat itu.

Pemangku Ketua Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata pemandu treler berusia 44 tahun itu melarikan diri dan berjaya ditahan sepasukan anggota Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) di Plaza Tok Sedenak, Johor, tiga jam kemudian.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, keadaan permukaan jalan di kawasan itu kering, lurus dan rata.

"Tiada pekerja tol di tempat kejadian. Pemandu treler yang ditahan dibawa menjalani ujian air kencing, manakala kenderaan dipandunya pula dihantar ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk ditimbang, seterusnya menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

BH pada 9 Julai lalu melaporkan, seorang jurutol wanita nyaris maut apabila pondok tol tempatnya bertugas dirempuh lori di pondok dan plaza tol sama.

Dalam kejadian jam 6.55 pagi itu, lori dipandu Mohd Aziman Mat Ya'acob, 34, dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara Selatan susur masuk ke arah plaza tol berkenaan merempuh dua pondok tol sekali gus, yang menjalankan operasi pembayaran tunai dan 'Touch N Go'.

21 dibaca
Berita Harian X