Selasa, 26 Julai 2016 | 4:30pm

DBKL tamatkan sewa rumah PPR penghuni gagal bayar tunggakan


DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz pada Sidang media mengenai "Kempen Membayar Tunggakan Hasil DBKL" di Menara DBKL, Jalan Raja Laut. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan Kempen Membayar Tunggakan Hasil bermula bulan depan, bagi menggalakkan orang ramai menjelaskan tunggakan cukai taksiran, sewa rumah dan gerai pasar serta notis kompaun trafik.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata sepanjang kempen itu diadakan, kaunter bayaran cukai tafsiran dan notis kompaun trafik DBKL akan mula dibuka di 32 lokasi pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 6 hingga 20 Ogos ini.

Katanya, bayaran sewaan gerai pasar pula akan dibuka di Lobi Menara DBKL 1 dan 3 bermula 22 hingga 26 Ogos ini.

"Kempen yang diadakan ini membolehkan orang ramai membuat rayuan, rundingan, menjelaskan bayaran dan mengemas kini maklumat. Senarai terperinci jadual lokasi kempen boleh didapati di laman web DBKL www.dbkl.gov.my.

"Sepanjang kempen ini diadakan, DBKL juga menawarkan kadar khas notis kompaun trafik iaitu motosikal (RM20), kereta (RM30) dan kenderaan berat (RM100)," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mhd Amin Nordin berkata, sebaik kempen itu tamat, DBKL juga akan melaksanakan operasi sita dan menamatkan penyewaan, selain mengambil tindakan mahkamah kepada pemilik yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran, sewa perumahan dan gerai pasar serta notis kompaun trafik bermula September ini.

"Sejumlah RM102 juta daripada RM1.2 bilion cukai tafsiran tidak dijelaskan pemilik harta, ini tidak termasuk RM32 juta daripada RM64 juta sewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR). Sejumlah RM7.5 juta daripada RM17 juta sewaan gerai pasar juga gagal dijelaskan peniaga.

"Justeru, orang ramai boleh menyelesaikan tunggakan yang ada sebelum tindakan tegas diambil," katanya.

40 dibaca
Berita Harian X