Selasa, 26 Julai 2016 | 1:07pm
SEORANG bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Kampung Bandar, dekat Baling, pagi semalam. - Foto hiasan

Bayi sindrom down maut disyaki tersedak susu

BALING: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan, Nur Damia Nasri, meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Kampung Bandar, dekat Jalan Weng, Siong, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa yang dikatakan menghidap sindrom down dan jantung berlubang itu sedang tidur, sebelum tiba-tiba disedari terbatuk dan terus tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf, mengesahkan kejadian itu berdasarkan laporan dibuat bapa mangsa, Nasri Nayan, 47.

Katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Baling (HB) dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, malah sebaik tiba di hospital bayi berkenaan sudah kebiruan.

"Ketika doktor memasukkan tiub oksigen melalui mulut, terdapat susu keluar dan doktor mengesyaki kematian mungkin akibat tersedak susu," katanya.

Shariffuddin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Berita Harian X