Selasa, 26 Julai 2016 | 11:41am

TNB rai lebih 100 anak yatim, OKU, balu


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli bergambar bersama anak yatimorang kurang upaya (OKU) dan balu yang diraikan pada Majlis Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tahun 2016 Peringkat Negeri Perak, di sini, malam tadi. - Foto L Manimaran

IPOH: Lebih 100 anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan balu diraikan pada Majlis Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tahun 2016 Peringkat Negeri Perak, di sini, malam tadi.

Mereka yang diraikan adalah anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim Budi Mulia Nurul Huda, OKU, anak kakitangan dan bekas kakitangan TNB serta balu warga kerja TNB.

Masing-masing menerima sumbangan duit raya berjumlah RM100 dan cenderahati, pada majlis yang diadakan di Brewster Village, Jalan Sultan Idris Shah, di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal; Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor; Pengurus Besar Bahagian Penghantaran TNB Perak, Ir Abd Halim Baharudin dan Pengarah Urusan TNB Jana Manjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Lebih 1,000 pengunjung hadir ke majlis berkenaan dan lebih 10 gerai makanan menyediakan pelbagai juadah istimewa seperti cendol, kuetiau, cucur bawang, puri kari ayam, lemang, rendang, hidangan berasaskan sup, sate serta buah-buahan tempatan untuk dinikmati pengunjung.

Majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan karaoke bertema lagu hari raya di pentas utama.

Berita Harian X