Isnin, 25 Julai 2016 | 8:17pm
BOT pancung yang terbalik di perairan Batu Layar malam Sabtu berjaya dibawa ke pantai. - Foto Ahmad Othman

Bot karam: Empat lagi mayat ditemui

KOTA TINGGI: Empat lagi mangsa dijumpai, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 12 warga Indonesia maut dalam kejadian bot karam di Pesisir Pantai Batu Layar, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata polis menemui dua mayat lelaki ditemui dalam keadaan terlungkup dan terdampar di pantai itu, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Katanya, satu lagi mayat lelaki ditemui hanyut di perairan Punggai, dekat sini, oleh sekumpulan nelayan, kira-kira jam 12.30 tengahari tadi, iaitu di lokasi kira-kira empat kilometer daripada bot terbabit karam.

"Dua mayat lelaki ditemui terdampar di tepi pantai, pada jarak kira-kira 500 meter daripada bot karam, manakala satu lagi mayat ditemui hanyut oleh nelayan.

"Operasi yang dijalankan setakat jam kira-kira 4.30 petang tadi, satu mayat lelaki turut dijumpai oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jarak 4.67 kilometer daripada bot terbabit.

"Susulan penemuan mayat terbaru ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi mengesan kemungkinan ada lagi mangsa hilang di perairan berkenaan," katanya.

Dalam kejadian semalam, lapan warga Indonesia termasuk seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan, ditemui lemas, manakala 20 lagi dikhuatiri hilang selepas bot pancung yang dinaiki mereka dipercayai untuk menyusup keluar dari negara ini karam di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit.

Bagaimanapun, 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lain ditemui selamat dan kini ditahan oleh Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Kejadian bot karam itu disedari oleh orang awam kira-kira jam 9.45 malam Sabtu lalu selepas mendengar suara meminta pertolongan sebelum operasi SAR segera digerakkan membabitkan polis, tentera, polis marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Penawar.

15 dibaca
Berita Harian X