Isnin, 25 Julai 2016 | 5:43pm
KONTROVERSI, apabila adik perempuan bekas suami kepada isteri kedua pelakon Adi Putra hadir semasa majlis sidang media di Casa Ombak Ampang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Bukan saya punca keretakan rumah tangga Norshahida - Adi


PELAKON Adi Putra mengulas isu pernikahan kedua pada media di Casa Ombak Ampang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Adi Putra, menafikan dirinya menjadi punca keretakan rumah tangga isteri keduanya yang dinikahi 20 Jun lalu.

Meskipun mengakui isteri baharunya, Norshahida Zolkifly, 33, masih bergelar isteri orang ketika awal perkenalan mereka, namun Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 35, enggan masuk campur dalam urusan rumah tangga kedua-duanya.

"Masyarakat berhak untuk menuduh saya sebagai perampas. Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang mahu menjadi perampas. Saya anggap perkahwinan ini sebagai satu anugerah," katanya pada sidang media khas yang diadakan di sini, sebentar tadi.

Ditanya adakah perkahwinan itu mendapat restu isteri pertamanya, Aida Yusof, 41, yang dinikahinya 10 tahun lalu, Adi mengaku perkara itu sudah dimaklumkan kepada Aida sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan.

"Aida memang sudah tahu (mengenai pernikahan kedua) lebih awal lagi. Namun, dia enggan mendedahkannya kepada media kerana memegang amanah dan menunggu saya sendiri yang menjelaskannya.

"Saya bangga dan hormat pada Aida atas rasa tanggungjawabnya itu," katanya.

Bagaimanapun, Adi yang sering terpalit dengan kontroversi membabitkan wanita, merayu media tidak menghubungi kedua-dua isterinya atas alasan enggan melihat perasaan mereka terluka.

"Sebagai ketua keluarga, biarlah saya yang menjawab segala persoalan dan menanggung akibatnya. Saya tidak mahu hati kedua-duanya dan keluarga masing-masing terguris jika persoalan ini terus diajukan kepada mereka, sekali gus isu jadi berpanjangan," kata pelakon drama Lambaian Ramadan ini.

Mengenai tanggapan sesetengah pihak kononnya perkahwinan terbabit bermotifkan perniagaan dan sebagai usaha mendapatkan zuriat, Adi turut menafikan perkara berkenaan.

"Untuk mendapatkan zuriat, ia bukan seperti menghantar kereta ke bengkel yang boleh siap pada bila-bila masa. Lagipun, saya tidak pernah bergaduh dengan Aida fasal anak," katanya.

Sidang media itu juga turut digemparkan dengan kehadiran bekas adik ipar isteri kedua Adi, Farah Erliani Rahimpudin, yang bertujuan membersihkan nama abangnya yang disindir Adi di laman sosial.

"Saya datang ke sini bukan untuk memalukan Adi, tetapi saya cuma mahu membersihkan nama abang saya apabila Adi bertindak menyebarkan gambar dan nombor telefon abang saya di laman sosialnya.

"Untuk pengetahuan semua, bukan abang saya yang viralkan kisah kemelut rumah tangga beliau dengan bekas isterinya, seperti yang disangka Adi," kata Farah.

Bagaimanapun, belum sempat pihak media bertanya dengan lebih lanjut, Adi dengan cara baik meminta Farah meninggalkan majlis.

26 dibaca
Berita Harian X