Ahad, 24 Julai 2016 | 9:24am

Jemaah haji jangan abai kesihatan, keselamatan

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil beramah mesra dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali (dua dari kiri) selepas majlis perasmian EIP di Dataran Dato Sheikh Ahmad, semalam. - Foto Aizat Sharif

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan bakal jemaah haji agar tidak mengabaikan soal kesihatan dan keselamatan ketika berada di Tanah Suci.

Baginda bertitah faktor berkenaan perlu diambil berat kerana cuaca di Arab Saudi dilapor bakal mencecah 50 darjah celsius.

"Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal terutama semasa Masya'ir di Arafah, Muzdalifah dan melontar di jamrah. Oleh itu minum banyak air dan makan makanan berkhasiat.

"Bawa juga bekalan ubatan yang diperlukan selain barangan keperluan mencukupi seperti yang dinasihatkan Tabung Haji untuk kegunaan sepanjang masa di sana," titah baginda semasa merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perlis 2016 di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda bertitah bakal haji perlu peka dengan keadaan persekitaran serta menjaga keselamatan diri selain tidak menghampiri tempat yang terdapat aktiviti seperti tunjuk perasaan.

Seramai 228 orang rakyat Perlis akan mengerjakan haji tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X