Sabtu, 23 Julai 2016 | 11:02pm

Remaja maut, rakan cedera nahas motosikal

SEREMBAN: Seorang remaja perempuan maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Jalan Tech Valley, Sendayan di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, mangsa yang berusia 14 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, rakannya, juga remaja perempuan berusia 14 tahun yang membonceng motosikal, patah tangan kanan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

"Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku akibat motosikal yang ditunggang mangsa ketika dalam perjalanan ke Taman Gadong Jaya di sini, terbabas dan melanggar tepi jalan hingga menyebabkan mangsa tercampak," katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X