Sabtu, 23 Julai 2016 | 6:46pm
KETUA UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman bersama isteri, Datin Rohana Hassan pada majlis sambutan hari raya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - Foto Betty Subaryati

Hanya UMNO wadah perjuangan orang Melayu

KOTA BHARU: Parti baharu yang dikatakan untuk orang Melayu dan dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak sepatutnya diwujudkan kerana wadah parti Melayu yang kukuh dan kuat sudah lama ada diterajui UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, berkata parti yang namanya difahamkan Parti Melayu Bersatu Baru itu hanya mahu memperalatkan orang Melayu.

Katanya, ini kerana penubuhan parti itu hanyalah dibuat atas rasa dendam dan bertujuan menjatuhkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Parti baharu ini kononnya parti orang Melayu tidak wajar sama sekali ditubuhkan kerana wadah perjuangan Melayu dan Islam sudah sedia ada menerusi UMNO.

"UMNO dan PAS juga perlu bersatu supaya Islam dan Melayu terus kukuh tertegak di negara ini dan tidak dicabar," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan hari raya peringkat UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Zaluzi berkata, kebelakangan ini juga terlalu banyak tohmahan dan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk membabitkan isu 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

"Ini terbukti apa isu terbaharu apabila Amerika Syarikat cuba mencampuri urusan negara yang dikaitkan dengan dana 1MDB," katanya.

Berita Harian X