Sabtu, 23 Julai 2016 | 12:01am

Rasa asli sajian patin tempoyak pikat selera


IRWAN Zulkefli bersama pekerjanya di Restoran Hidang.

MENCARI masakan tradisional Melayu di dalam pusat beli-belah terkemuka boleh dikatakan agak sukar kerana kebiasaannya pengusaha restoran lebih gemar menyediakan makanan Barat, Thai atau Jepun.

Pengalaman yang agak berbeza boleh dirasai jika mengunjungi Mitsui Outlet Park di Sepang kerana terdapat sebuah restoran unik yang menyajikan menu tradisional Melayu yang serasi dengan selera tempatan.

Restoran Hidang diasaskan oleh Irwan Zulkefli mula beroperasi di pusat beli-belah itu pada Mei tahun lalu.

Melihatkan susun atur restoran berkenaan saja sudah cukup membuatkan pengunjung terpikat untuk mencuba menu ditawarkan.

Sesuai dengan konsep tradisional Melayu, restoran ini dihias indah umpama rumah tradisional dengan memaparkan elemen seperti tangga batu, ruang makan bersila, kain alas hidangan motif batik dan lebih menarik, makanan dihantar menggunakan talam bulat.


ANTARA juadah yang terdapat di Restoran Hidang .

Tawar Hidangan Melayu

Ketika singgah ke Restoran Hidang, penulis diberitahu antara menu yang mendapat sambutan ialah ikan patin tempoyak.

Sejujurnya, penulis agak skeptikal akan kemampuan sesebuah restoran moden untuk menghidangkan menu ini kerana dikhuatiri rasanya tidak seperti yang selalu dijual di negeri Pantai Timur itu.

Namun telahan ini nyata silap kerana ikan patin tempoyak di Restoran Hidang memang mempunyai rasa yang asli. Ikan patin dimasak dengan baik tanpa bau hanyir.

Menceritakan lebih lanjut, Irwan yang juga anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkata restorannya amat menitikberatkan kualiti terhadap semua makanan yang disediakan.

"Hidangan utama atau signature kami tidak dimasak di dapur restoran ini, sebaliknya kami mempunyai sebuah dapur pusat di Bangi yang akan membekalkan hidangan istimewa itu.

"Ini bagi memastikan rasa dan kualiti masakan tidak berbeza kerana ia disiapkan oleh tukang masak yang sama setiap hari," katanya.


HIDANGAN tempoyak.

Menu enak, harga berpatutan

Faktor lain menarik pelanggan ke restoran ini ialah harganya sangat berpatutan, sesuai dengan kedudukannya iaitu persekitaran kondusif yang disediakan kerana beroperasi dalam pusat beli-belah.

Set makanan nasi dan ikan patin tempoyak, daging salai masak lemak, kari kepala ikan dan nasi lemak ayam rendang berharga dari RM20 hingga RM45.

Selain itu, pelanggan juga boleh mencuba sajian pemanis mulut seperti sagu gula melaka dan tapai aiskrim.

Menariknya, Restoran Hidang turut menyediakan set bento untuk penghantaran sekitar kawasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) hanya pada harga RM10.

Irwan berkata pihaknya menyasar untuk menarik kunjungan warga tempatan dan pelancong luar untuk merasai keunikan hidangan yang disediakan.

Pelbagai jenis hidangan

Sajian lain yang ditawarkan di Restoran Hidang termasuk ayam masak lemak cili padi, asam pedas daging tetel, mi kari dan nasi kerabu.

Ia turut menyediakan aneka kudapan seperti rojak buah, sotong kangkung, sate dan keropok lekor yang dibawa khas dari Terengganu.

"Semua sajian kami disediakan oleh tukang masak yang berpengalaman dan saya berharap lebih ramai pengunjung akan mencuba hidangan yang kami tawarkan," katanya.

INFO

Alamat: Lot F25, Mitsui Outlet Park, KLIA 64000 Sepang, Selangor

Telefon: 03-86602892/ 019 -2988026 / 019 -3607878

Facebook: Hidang

Instagram: instagram.com/hidang.mitsui

Menu utama: Ikan patin tempoyak, daging salai masak lemak, nasi lemak rendang ayam, sotong kangkung, kari kepala ikan dan ketam masak lemak

72 dibaca
Berita Harian X