Jumaat, 22 Julai 2016 | 5:29pm

Sarawak optimis lahir penerjun berprestasi tinggi


PENOLONG jurulatih negeri, Rosatimah Muhammad (tiga kanan) membuat persiapan semasa sesi latihan di Kuching. - Foto BERNAMA

KUCHING: Skuad terjun Sarawak optimis mampu melahirkan lebih ramai jaguh terjun seperti Pandelela Rinong Pamg dan Bryan Nickson Lomas dengan adanya kemudahan pusat akuatik baharu di Kompleks Sukan Petra Jaya di sini.

Penolong jurulatih negeri, Rosatimah Muhammad yang mengakui bahawa Sarawak gagal melahirkan generasi baharu penerjun yang berprestasi tinggi sejak kebelakangan ini berkata, negeri itu mampu kembali menjadikan acara itu sebagai lubuk emas temasya Sukan Malaysia (Sukma).

"Selepas kelompok Bryan dan Pandelela, memang terputus di situ... Kemudahan baharu ini boleh dikatakan sebagai azam baharu untuk kita lahirkan lebih ramai atlet mewakili negara.

"Tempat yang kita berlatih sebelum ini kemudahannya tidak begitu baik. Alhamdulillah, sekarang dah ada fasiliti baharu yang baik, kita akan kembali dengan atlet-atlet yang baharu, tetapi perlu bermula daripada sifar," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini.

Pada suatu ketika dahulu, Sarawak menguasai arena terjun negara dengan melahirkan bakat-bakat yang mewakili negara di pentas antarabangsa.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, Traisy Vivien Tukiet dan Kimberly Bong merupakan tiga atlet negeri Sarawak yang berada dalam skuad kebangsaan pada masa ini.

Rosatimah berkata pasukan itu sebelum ini berlatih di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Sarawak selama tiga tahun sebelum ditempatkan di Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk tiga tahun seterusnya sehingga berpindah ke kompleks akuatik baharu yang menelan kos RM163 juta pada Mac lalu.

"Kami berharap kerajaan akan terus membenarkan kami untuk menggunakan kemudahan ini selepas SUKMA," katanya.

Dalam pada itu, pasukan tuan rumah hanya menyasarkan satu pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki menerusi Chan Wee Chiek dan Slyvester Gaing Peter Jawa.

"Kami nak mempertahankan pingat emas 3m papan anjal seirama lelaki yang dimenangi di SUKMA Perlis. Kami bukan nak letak sasaran rendah, tetapi menjangkakan cabaran sengit dari negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

"Kita turut perlu menyesuaikan diri dengan venue baharu ini di samping keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Pasukan tuan rumah juga membariskan Eilisha Rania, 11, penerjun paling muda negeri itu yang bakal membuat penampilan pertama Sukma.

Acara akuatik yang akan membuka tirai pada esok, akan berlangsung sehingga Rabu depan. - BERNAMA

Berita Harian X