Khamis, 21 Julai 2016 | 2:09pm

Maybank lancar dompet mudah alih MaybankPay

KUALA LUMPUR: Maybank melancarkan kemudahan pembayaran dompet mudah alih pertama, MaybankPay dengan menyasarkan untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 20,000 pengguna dalam tahun pertama.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata kemudahan itu akan membolehkan pelanggan membuat pembayaran tanpa tunai melalui telefon pintar dan peranti pegangan tangan lain.

Katanya, ia kemudian akan dicaj terhadap kad visa mereka tanpa perlu menggunakan debit fizikal atau kad kredit.

"MaybankPay ditetapkan untuk merevolusikan pembayaran elektronik di Malaysia kerana ia menawarkan kaedah baharu di mana pemegang kad 'membawa kad mereka dalam peranti mudah alih'.

"Bayaran dilaksanakan dengan hanya mengimbas telefon bimbit pada terminal kad peniaga yang mempunyai keupayaan Visa PayWave di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran MaybankPay di Maybank Treats Fair 2016 di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Yang turut hadir, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan, Datuk Lim Hong Tat; Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Michael Foong Seong Yew; Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Mohd Suhail Amar Suresh dan Ketua Kad Kumpulan CFS, B Ravintharan.

Mengulas lanjut, Hamirullah berkata, pelancaran MaybankPay itu adalah sebahagian daripada strategi Maybank bagi mengukuhkan tawaran digital sejajar dengan objektif kumpulan untuk menjadi pilihan bank digital.

"Sebagai peneraju dalam perbankan elektronik dan digital, kita akan terus memanfaatkan teknologi untuk memastikan pelanggan kami mendapat manfaat daripada peningkatan tumpuan antara telekomunikasi mudah alih dan perbankan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamirullah berkata, bank itu akan menerokai kemungkinan melaksanakan MaybankPay di pasaran Maybank lain iaitu Indonesia, Singapura dan Filipina pada akhir tahun depan.

MaybankPay direkabentuk untuk menjadi cepat, mudah dan selamat digunakan dan mula disediakan bagi peranti Android dan pemegang kad boleh mendaftarkan hingga lapan pada satu peranti.

INFO

Maybank

* 10.5 juta kad debit

* 1.8 juta kad kredit

16 dibaca
Berita Harian X