Khamis, 21 Julai 2016 | 9:07am
PENDUDUK meredah air banjir di hadapan rumah mereka di Kampung Teloi, Yan, kelmarin. - Foto Amran Hamid

476 masih di pusat pemindahan banjir Kedah

ALOR SETAR: Sejumlah 132 keluarga membabitkan 476 mangsa masih berada di pusat pemindahan akibat banjir yang kini masuk hari keempat di Kedah.

Semua mangsa kini ditempatkan di enam pusat pemindahan yang masih aktif membabitkan lima di Yan dan satu di Pendang berdasarkan rekod terkini jam 8 pagi ini.

Sumber Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah, berkata di Yan, 101 keluarga membabitkan 369 mangsa kini ditempatkan di lima pusat pemindahan khususnya di sekitar Guar Chempedak.

Ia membabitkan pusat pemindahan di Surau Teroi Bukit dengan 29 keluarga dan 117 mangsa, diikuti Surau Kampung Batu 22 (19 keluarga, 79 mangsa), Surau Kampung Sungai Lintang (22 keluarga, 62 mangsa), Kampung Sungai Malai (13 keluarga, 44 mangsa) dan Dewan Shukor (18 keluarga, 67 mangsa).

Sementara di Pendang pula, semua 31 keluarga membabitkan 107 mangsa ditempatkan di Dewan Cenderawasih selaku pusat pemindahan bagi mukim Ayer Puteh.

Berdasarkan maklumat, mangsa dijangka pulang beransur-ansur hari ini berikutan paras air yang semakin reda.

Beberapa mangsa yang sudah pulang juga mengambil kesempatan cuaca yang semakin baik untuk membersih kediaman masing-masing.

Berita Harian X