Khamis, 21 Julai 2016 | 7:51am

Pakistan bakal lulus akta 'pembunuhan maruah'


WASEEM (tengah), abang kepada bintang media sosial Qandeel Baloch (gambar kecil) mengaku membunuh adiknya kerana mencemar 'maruah' keluarga ketika sidang media selepas ditahan pihak polis Pakistan di Multan, negara itu pada 17 Julai lalu. - Foto EPA

ISLAMABAD: Parti pemerintah Pakistan merancang meluluskan undang-undang 'pembunuhan maruah' yang lama tertangguh dalam masa beberapa minggu lagi susulan pembunuhan berprofil tinggi seorang bintang media sosial yang lantang bersuara, kata anak perempuan Perdana Menteri Nawaz Sharif semalam.

Rang undang-undang itu akan dibawa ke jawatankuasa Parlimen hari ini, kata Maryam Nawaz Sharif.

Kerajaan terus berdepan tekanan untuk meluluskan undang-undang terhadap pembunuhan yang dilakukan pihak yang mengaku bertindak dengan alasan mempertahankan maruah keluarga mereka.

Undang-undang ini akan menghapuskan kelemahan yang membolehkan ahli keluarga lain untuk memaafkan pembunuh.

Abang kepada bintang media sosial, Qandeel Baloch juga dikenali sebagai Kim Kardashian, Pakistan ditahan berhubung kematian adiknya dan memberitahu sidang akhbar beliau berang dengan kelantangan Baloch di media sosial.

Kira-kira 500 wanita dibunuh setiap tahun di Pakistan di tangan ahli keluarga dengan alasan mencemar 'maruah' yang membabitkan kahwin lari, menjalin hubungan dengan lelaki atau sebarang pelanggaran nilai konservatif yang mengawal kehormatan wanita.

Maryam Nawaz Sharif berkata kerajaan sebulat suara mahu meluluskan undang-undang itu dan sudah berunding dengan pihak-pihak agama di parlimen.

Parlimen meluluskan rang undang-undang itu pada 2014 tetapi luput selepas kerajaan gagal membawanya untuk undian di Dewan Rakyat kerana berdepan undang-undang yang mensasarkan untuk menangani masalah keselamatan dan pembaharuan ekonomi. - Reuters

Berita Harian X