Khamis, 21 Julai 2016 | 12:14am
PERKHIDMATAN urut yang menyenangkan diberikan percuma. - Foto Nazri Abu Bakar

RM7 untuk semua fesyen rambut


MELAKA: Ketika rakan sebaya berusaha mengejar impian menjawat jawatan tinggi dan bergaji mewah, Zaim Syahrulnizam Zaharudin, cenderung bertatih sebagai tukang gunting secara membuka perniagaannya sendiri.

Zaim Syahrulnizam, 21, berkata dia selesa merawat dan membentuk gaya rambut pelanggannya demi memperoleh pendapatan hasil titik peluh sendiri.

Sejak setahun lalu, dia membuka Zaim Barber Shop dekat Sungai Udang di sini, bagi mengejar impian menjadi majikan kepada diri sendiri, meskipun ramai melihat pekerjaannya sebagai rimas, memenatkan serta kotor.

"Saya bertekad membina nama dalam pekerjaan ini dengan niat berbakti dan menampilkan imej menarik kepada setiap pelanggan, terutama pelajar dan penduduk setempat.

"Saya puas dengan pekerjaan ini kerana dapat melihat penampilan berbeza setiap pelanggan ketika mereka meninggalkan kedai dan kembali semula selepas tiga atau empat minggu," katanya yang mengutip pengalaman menggunting hasil lawatan ke premis seumpama itu di Jepun, Australia, Hong Kong, Indonesia, Thailand dan Arab Saudi.


KONSEP kedai yang menarik di Zaim Barber Shop di Sungai Udang. - Foto Nazri Abu Bakar

CUKUR janggut di Zaim Barber Shop di Sungai Udang. - Foto Nazri Abu Bakar

Lulusan Kolej Komuniti Masjid Tanah itu mendakwa, mencuba hampir semua kedai gunting rambut di Melaka dan Kuala Lumpur, bagi mempelajari teknik terbaik sebelum memulakan perniagaannya.

Bayaran RM7 bagi khidmat gunting rambut tanpa mengira fesyen yang dikehendaki pelanggan, membuatkan kedai gunting milik Zaim menjadi tumpuan ramai, walaupun ada kira-kira 15 premis seumpama itu di sekitar bandar Sungai Udang di sini.

Lebih menarik, kedainya dihias kreatif dengan pelbagai poster menampilkan imej dan fesyen serta peralatan gunting rambut klasik, sekali gus menjadikannya sebagai antara tarikan semua lapisan pelanggan daripada generasi muda hingga golongan tua.

Setakat ini, Zaim mempunyai lebih 2,000 pelanggan yang berulang sejak kedai gunting itu beroperasi setahun lalu.

"Saya tidak gentar dengan persaingan, kemunculan kedai gunting rambut ibarat 'cendawan tumbuh lepas hujan' bukan halangan untuk berjaya, sebaliknya memberi peluang kepada pelanggan memilih yang terbaik bagi mendapatkan perkhidmatan," katanya yang turut dibantu rakan, Isa Abu Zarin, 44.


POSTER menghiasi dinding di Zaim Barber Shop. - Foto Nazri Abu Bakar

ANTARA poster yang dipamerkan di Zaim Barber Shop. - Foto Nazri Abu Bakar

Mengulas konsep kedai yang ditampilkan, Zaim berkata, dia mendapatkan poster lama dengan pelbagai imej klasik menerusi pembelian secara dalam talian dengan setiap satunya berharga di antara RM60 hingga RM150.

Katanya, dia mahu pelanggan berada dalam keadaan selesa, selain memperoleh ilmu daripada maklumat tertera pada poster berkenaan, sekali gus membolehkan mereka memilih mana-mana fesyen rambut yang dikehendaki.

Pelanggan, Mohd Zainudin Yaakob, 15, mengakui teruja ke kedai gunting itu kerana harga yang murah dan selesa, di samping kaedah guntingan yang berkualiti serta konsep dalaman kedai yang unik.

"Keramahan dan sikap mesra Zaim yang pandai melayan pelanggan, mendorong saya kembali ke sini setiap kali mahu menggunting rambut," katanya.

Pelanggan, Hasrul Roslan, 22, berkata tidak ramai golongan muda berminat membuka perniagaan seperti itu dan usaha Zaim yang mampu menjadi contoh kepada generasi muda lain di sini.

91 dibaca
Berita Harian X