Rabu, 20 Julai 2016 | 10:36pm

Budak disleksia hilang ditemui semula


NONET kelihatan gembira duduk di atas pangkuan Salleh ketika mereka ditemukan semula di IPD Gombak lewat petang tadi.

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan lapan tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar bermain di hadapan rumahnya di Kampung Melayu Sri Gombak, Batu Caves dekat sini, petang semalam, ditemui semula oleh orang awam, lewat petang tadi.

Kanak-kanak berkenaan, Preity Nur Athilia Firza Abdullah atau nama manjanya Nonet, ditemui orang awam sedang berjalan seorang diri di kawasan perumahan Taman Selasih, Gombak di sini, kira-kira jam 5 petang.

Menurut abang saudaranya, Fadhirul Anuar Salleh, 31, bapanya, Salleh Abdullah, 70, menerima panggilan daripada polis kira-kira jam 5.30 petang memaklumkan Nonet sudah ditemui dan memintanya segera datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Kami dimaklumkan Nonet ditemui oleh seorang orang awam yang terlihatnya berjalan tanpa arah di Taman Selasih, kira-kira dua kilometer dari rumah kami.

"Individu itu yang mungkin mengetahui kehilangan Nonet daripada laporan media dan hebahan yang dibuat kemudian mengajaknya masuk ke rumah sebelum menghubungi pihak polis," katanya kepada BH, tadi.

Fadhirul berkata, dia bersama bapanya kemudian bergegas ke IPD Gombak dan berasa lega kerana kanak-kanak yang ditemui itu adalah benar-benar Nonet.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama individu yang menemui Nonet kerana sikap prihatinya.

"Saya serta keluarga juga ingin merakamkan ucapan terima kepada pihak polis, media serta orang ramai yang sama-sama menghebahkan kehilangan Nonet sehingga dia berjaya ditemui semula," katanya.

Nonet yang juga kanak-kanak disleksia disedari hilang oleh Salleh kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas dia dilihat bermain dengan seekor kucing di hadapan rumah.

Keluarga itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Selayang jam 8 pagi hari ini selepas usaha gagal mencarinya.

Berita Harian X