Rabu, 20 Julai 2016 | 2:00pm

20 pemberontak Kurdis maut serangan di Iraq


Sasaran udara tentera Turki ke atas pemberontak Parti Buruh Kurdistan (PKK) di Iraq. - Foto yournewswire.com

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 20 pemberontak Parti Buruh Kurdistan (PKK) terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Turki di utara Iraq, lapor penyiar NTV hari ini.

Turki sering melancarkan serangan udara ke atas PKK di kem yang menempatkan pemimpin kumpulan berkenaan di wilayah pergunungan utara Iraq dekat sempadan Turki.

Gencatan senjata antara kumpulan PKK yang menuntut autonomi dan kerajaan berakhir tahun lalu, sekali gus mencetus keganasan antara paling buruk sepanjang tiga dekad pemberontakan Kurdis.

Turki berdepan pelbagai ancaman keselamatan termasuk militan IS dan PKK.

Jumaat lalu, sekumpulan anggota tentera cuba melancarkan rampasan kuasa namun gagal selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyeru rakyat Turki keluar di jalanan menentang cubaan itu. - Reuters

Berita Harian X