Rabu, 20 Julai 2016 | 11:33am
Foto ihsan instagram Rozita Che Wan
Foto ihsan instagram Rozita Che Wan

Bisnes makin kukuh, Che Ta belum sedia pencen berlakon


Foto ihsan instagram Rozita Che Wan

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan menghormati pandangan suaminya, Zain Saidin supaya berhenti berlakon melihatkan perniagaan yang semakin kukuh namun belum sedia ke arah itu kerana bidang seni dianggap medan terbaik mempromosi produk.

Katanya, sejak serius sebagai usahawan empat tahun lalu beliau lebih realistik dalam mempertimbangkan sesuatu perkara apatah lagi selepas melihat populariti dirinya di arena hiburan memberi impak kepada setiap barangan dikeluarkan.

Namun, di atas saranan suami serta kesibukan mengimbangi perniagaan dan keluarga, Rozita yang mesra disapa Che Ta memperlahankan lakonan dengan lebih selektif memenuhi tawaran.

"Saya lihat dunia seni ini sebagai landasan untuk terus mempromosikan diri dan produk. Pengaruhnya cukup Saya sangat realistik dalam hal itu malah tidak mungkin berhenti berlakon secara drastik.

"Memang Zain sangat prihatin. Saranannya supaya saya menumpukan saja perhatian terhadap perniagaan cukup saya hormati dan hargai kerana saya tahu dia tidak mahu saya terkejar-kejar masa.

"Apa pun saya sangat realistik berhubung perkara ini dan tidak mungkin akan meninggalkan kerjaya lakonan secara drastik. Sekarang ini pun saya sudah memperlahankan langkah dengan berlakon dengan produksi yang saya sudah biasa," katanya.


Foto ihsan instagram Rozita Che Wan

Terdahulu, Zain menyatakan nama isterinya sudah kukuh di arena seni walaupun jarang berlakon sekali gus menjadi waktu sesuai untuknya mengundurkan diri bagi memberi sepenuh perhatian terhadap bisnes.

Profil Che Ta sebagai ahli perniagaan bermula dengan penghasilan busana muslimah sekitar 2011 dan empat tahun kemudian tampil pula dengan koleksi tudung dan selendang. Seterusnya Ogos tahun lalu, Che Ta memperkenalkan rangkaian minyak wangi Precious, dan diikuti dengan Gorgeous.

Pada awal tahun ini, beliau yang juga turut dikenali sebagai pengacara memasarkan produk losen Putih Ajaib by RCW. Seterusnya Mac lalu pula, hadir pula jenama Jus Goyang Rapat by RCW.

Che Ta mula berlakon sejak 2005 dan beberapa tahun lalu dia sudah mula memperlahankan rentak lakonan. Che Ta hanya berlakon dengan produksi yang disenanginya sahaja.

Terkini, menerusi syarikat produksi sendiri yang dinamakan Padusi Pictures, ibu kepada tiga cahaya mata itu berjinak-jinak pula dengan tanggungjawab sebagai penerbit.

Menyentuh mengenai kerjaya seni yang dianggap ramai sebagai kerja glamor, ulasnya ia berbalik kepada soal niat kerana jika hanya popular tanpa berusaha kesenangan tidak datang sendiri.

"Lakonan bukan kerja mudah biarpun ia dianggap glamor. Sebagai pelakon ada kalanya kita seharian di lokasi penggambaran. Tidak hanya berlakon, pelakon juga banyak menunggu sekali gus masa banyak terbuang.

"Tetapi saya tidak menyesali jalan ini. Saya percaya apa yang kita lakukan menjadi pengalaman terbesar selain dapat mencuri ruang meneroka benda baharu termasuk dunia perniagaan," katanya yang kini bercuti di Eropah dan bakal pulang esok.

105 dibaca
Berita Harian X