Rabu, 20 Julai 2016 | 12:23am

Filipina sahkan 5 rakyat Malaysia diculik Abu Sayyaf

JESUS Dureza. - Foto EPA

MANILA: Penasihat Damai Presiden Filipina Jesus Dureza hari ini mengesahkan laporan bahawa lima kru bot pukat tunda dari Malaysia diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di Sabah.

"Mereka menculik lagi tambahan lima rakyat Malaysia di Lahad Datu," kata Dureza pada sidang media di Malacanang.

Memetik laporan perisikan, penasihat itu berkata, bot pukat tunda terbabit dalam perjalanan dari Sandakan ke Semporna apabila ia ditahan.

Kapal terbabit ditemui tanpa pengemudi Sabtu lalu di Lahad Datu, kawasan perairan Sabah bersempadan dengan Pulau Tawi-Tawi.

Dureza berkata, pihak berkuasa percaya, militan Abu Sayyaf menculik kru bot terbabit, yang dikenal pasti sebagai Abdurahim Summas, Tayudin Anjut, Mohammad Ridzuan Ismael, Mohammad Jumadil Rahim dan Fandy Bakran.

Jika penculikan itu disahkan dirancang Abu Sayyaf, kemungkinan ada sekurang-kurangnya 18 rakyat Malaysia dan Indonesia diculik militan terbabit dalam tiga kejadian berasingan sejak awal tahun ini.

Polis Nasional Filipina (PNP) berkata, kumpulan Abu Sayyaf menyasarkan rakyat Malaysia dan Indonesia kerana mangsa membayar wang tebusan.

Dureza juga berkata, pemimpin Barisan Hadapan Pembebasan Moro (MNLF), Nur Misuari memaklumkan pihak berkuasa, beliau bersedia membantu memburu Abu Sayyaf.

Abu Sayyaf adalah kumpulan serpihan MNLF, diwujudkan Abdurajak Janjalani pada 1990-an. - Agensi

Berita Harian X