Selasa, 19 Julai 2016 | 6:10pm

2 lelaki bersenjata parang samun kedai serbaneka


KEDAI serbaneka 24 jam di Jalan Siakap, di sini, disamun dua lelaki India bersenjatakan parang. - Foto Nor Raidah Awang

BAGAN SERAI: Dua lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Siakap di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dalam kejadian jam 1.35 pagi, suspek masuk ke premis itu sebelum mengeluarkan parang yang disembunyikan di dalam baju di belakang badan sebelum menyamun premis itu termasuk dua pekerja di situ.

"Semakan pada CCTV (kamera litar tertutup) mendapati dua suspek berkenaan melakukan samun di bahagian kaunter, namun tidak mencederakan pekerja.

"Suspek yang tidak menutup muka melarikan wang tunai, dua telefon bimbit dan rokok bernilai kira-kira RM974 sebelum melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua pekerja berusia 18 dan 23 mengakui tidak pernah melihat suspek sebelum ini.

Katanya, semakan polis mendapati nombor pendaftaran kereta PROTON Wira yang dinaiki suspek dilaporkan hilang di Perai, Pulau Pinang, pada 18 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata api.

Berita Harian X