Selasa, 19 Julai 2016 | 2:33pm

JDT rombak pemain temu PDRM

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan melakukan rombakan barisan pemain dalam usaha mereka memburu kemenangan pertama apabila berdepan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Pengendali JDT, Mario Gomez menegaskan langkah itu diambil bagi merehatkan beberapa tonggak untuk persediaan menentang Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, Jumaat ini.

Menurutnya, kelibat pemain baharu JDT, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham akan diturunkan pada aksi menentang skuad kendalian Mohd Fauzi Pilus itu dan kemungkinan merehatkan sama ada Muhd Fazly Mazlan atau S Kunanlan.

"Kita berdepan jadual yang padat dan harus fikir perancangan terbaik untuk dua perlawanan yang begitu rapat dengan aksi menentang PDRM dan kemudiannya berdepan Sarawak.

"Kedua-dua perlawanan itu penting buat kami tetapi saya harus merehatkan beberapa pemain untuk memastikan mereka cergas apabila bersaing pada aksi kedua dan ia juga langkah bagi mengelak pemain mengalami kecederaan selain saya memiliki barisan pemain seimbang dan berkualiti.

"PDRM sudah mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Perak 2-1 manakala kita meraih keputusan seri pada aksi menentang PKNS FC dan saya inginkan pemain memberi sepenuh tumpuan untuk membawa pulang tiga mata," katanya.

Gomez juga mengingatkan barisan pemainnya yang diturunkan supaya tidak melakukan kesilapan mudah dan berwaspada dengan corak permainan pantas PDRM yang tampak sudah mula menunjukkan peningkatan selepas diperkuatkan dengan kelibat pemain import baharu, Guilherme de Paula.

Berita Harian X