Selasa, 19 Julai 2016 | 9:43am

166 mangsa banjir di Yan dipindah

YAN: Seramai 42 keluarga membabitkan 166 mangsa terpaksa dipindahkan selepas beberapa kawasan di sekitar daerah ini dinaiki banjir sejak tengah malam tadi.

Semua mangsa membabitkan empat lokasi dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara termasuk di surau dan masjid berdekatan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim, berkata empat lokasi terjejas banjir adalah Kampung Teroi Bukit dan Kampung Batu 8 1/2 di Guar Chempedak, selain Kampung Titi Teras dan Kampung Lubok Boi di Yan.

Katanya, Kampung Titi Teras merekodkan bilangan mangsa dipindahkan paling tinggi iaitu seramai 25 keluarga terdiri daripada 100 mangsa, diikuti Kampung Titi Teras (12 keluarga dengan 38 mangsa), Kampung Lubok Boi (3 keluarga membabitkan 18 mangsa) dan Kampung Batu 18 1/2 (2 keluarga dengan 10 mangsa).

"Semua mangsa kini dalam keadaan selamat dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Yan juga sudah datang meninjau dan memberi bantuan segera kepada semua mangsa terbabit.

"Setakat pagi ini, tiada hujan lebat dan cuaca sudah kembali cerah, namun pihak kami tetap bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan lain," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X