Selasa, 19 Julai 2016 | 12:12am
ZAIN Saidin mahu Rozita menumpukan perhatian kepada satu bidang sahaja. - Foto Rohanis Shukri.

Zain mahu Che Ta pencen berlakon, tumpu perniagaan


MELIHAT kerancakan perniagaan dijalankan isterinya, Rozita Che Wan, 43, pelakon Zain Saidin meluahkan harapan agar wanita yang lebih dikenali sebagai Che Ta itu menumpukan kepada satu bidang saja.

Dalam erti kata lain, bintang sitkom Oh My English itu mahu Che Ta berhenti berlakon, sebaliknya memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan yang nyata memberi pulangan lebih baik kepadanya.

Walaupun bermula sebagai pelakon dan bidang glamor berkenaan jugalah yang memberikannya ruang untuk meneroka arena bisnes, namun Zain berasakan lebih baik isterinya itu kini fokus kepada perniagaan. Dengan cara itu juga beliau tidak lagi perlu terkejar-kejar ke lokasi penggambaran selain memastikan perniagaan berjalan dengan baik.


WALAUPUN kini menceburi bidang perniagaan, namun bidang lakonan tetap menjadi minat Zain Saidin. - Foto Rohanis Shukri.

Che Ta mula menceburi perniagaan busana muslimah dengan menjual koleksi jubah dan tudung pada 2011. Empat tahun kemudian beliau tampil pula dengan koleksi tudung dan selendang.

Tidak terhenti di situ, Ogos tahun lalu, bintang Kiah Pekasam itu memperkenalkan minyak wangi Precious, dan diikuti dengan Gorgeous. Pada awal tahun ini, beliau yang juga turut dikenali sebagai pengacara memasarkan produk losyen pemutih di bawah jenama sendiri. Beberapa bulan lalu, artis jelita berkenaan tampil dengan jus penjagaan dalaman wanita.

Dek kejayaan isterinya dalam bidang itu, Zain, 32, sendiri turut membabitkan diri dalam bisnes sejak hampir setahun lalu.

"Pada tahap sekarang, saya lihat Che Ta kena fokus. Beliau tidak lagi perlu berlakon dan terkejar-kejar ke lokasi penggambaran. Sekarang pun orang sudah kenal namanya kalau beliau tidak berlakon sekalipun. Namanya sudah kukuh.

"Beliau sendiri meminati dunia perniagaan sejak dulu dan kini bidang bisnes terus sebati dengan dirinya. Ternyata, perniagaan diceburinya lebih memberikan keuntungan. Jadi, sebaiknya dia fokus saja dengan bidang berkenaan," kata Zain.

Sejak Ogos tahun lalu, Zain sendiri mengusahakan perniagaan kasut, diikuti dengan koleksi baju Melayu untuk digayakan pada musim perayaan. Kata lelaki berdarah kacukan ini, kesungguhannya itu tentu saja sedikit sebanyak dirangsang oleh isterinya.

Namun begitu, tindakan menceburkan diri dalam perniagaan bukanlah bermakna dirinya ingin meninggalkan dunia lakonan, yang tetap menjadi minatnya.

"Saya gemar mencuba pelbagai perkara, termasuk dunia perniagaan. Saya ingin lihat dulu, apakah dunia bisnes ini mampu dijadikan sumber pendapatan utama atau sebaliknya.

qc


PELAKON, Rozita Che Wan atau dikenali Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan anak mereka, Aaisyah Dhia Rana di majlis berbuka puasa artis-artis di bawah naungan Laugh Out Loud (LOL) Entertaiment. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Pada masa sama, jika ada tawaran berlakon yang mampu saya lakukan, saya pasti tidak menolaknya. Saya membabitkan diri dalam lakonan bukanlah kerana mencari duit, tetapi lebih disebabkan minat.

"Ketika ini memang perniagaan kasut yang menjadi keutamaan saya. Saya juga ingin mencuba pasaran aksesori lain seperti tali pinggang dan beg," katanya.

Kata Zain, jika hendak dibandingkan dengan isteri, langkahnya masih jauh dalam bidang berkenaan.


WALAUPUN kini menceburi bidang perniagaan, namun bidang lakonan tetap menjadi minat Zain Saidin. - Foto Rohanis Shukri.

"Memang jauh lagi perjalanan saya kalau ingin dibandingkan dengannya. Saya menjual kasut dan beberapa barangan lain secara terus atau dalam talian. Beliau pula berniaga dengan mempunyai stokis di seluruh negara. Kasut saya pun bukan setiap bulan orang akan beli. Pasaran perniagaan kami memang berbeza.

"Produk yang saya pasarkan lebih kepada golongan lelaki dan Rozita pula menjual barangan wanita, yang kita tahu kuasa beli mereka sangat tinggi. Lihat saja bagaimana minyak wangi, tudung dan produk kesihatannya mendapat sambutan menggalakkan.

"Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan muncul dengan rangkaian koleksi kasut bagi wanita pula," kata Zain yang mengakui Che antara idolanya dalam dunia perniagaan.

Berita Harian X