Isnin, 18 Julai 2016 | 11:29pm

Banjir landa Yan, 8 keluarga dipindahkan


SEORANG penduduk memegang tong plastik ketika meredah banjir dan keadaan sebuah rumah penduduk yang dinaiki air. - Foto Ihsan Pembaca

YAN: Sebanyak lapan keluarga dari empat buah kampung di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir selepas rumah mereka dinaiki air petang tadi. 

Kampung yang terjejas itu adalah Kampung Teroi Bukit, Kampung Lubuk Boi, Kampung Titi Teras dan Kampung Batu 18.   

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata, pemindahan dilakukan sebaik pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 7 malam tadi.  

Setakat ini katanya, seramai 50 mangsa membabitkan lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan iaitu surau di kampung masing-masing.  

"Jumlah rumah yang ditenggelami air masih belum dikenal pasti kerana operasi membantu mangsa sedang berjalan.  

"Bagaimanapun kita anggarkan lebih 20 rumah terjejas setakat ini," katanya.    

Beliau berkata, banjir dipercayai berlaku akibat hujan lebat sejak jam 4 petang tadi. 

"Selain empat kampung itu, turut dinaiki air adalah kawasan pekan Guar Chempedak," katanya.

Berita Harian X