Isnin, 18 Julai 2016 | 9:08pm

Aedes: Periksa rumah selepas pulang beraya

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang meminta orang ramai memeriksa persekitaran kediaman masing-masing bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes, selepas kembali daripada beraya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata pemeriksaan perlu dilakukan pada bekas yang mudah menakung air bagi memastikan tiada pembiakan jentik-jentik berlaku.

Beliau berkata, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digalak mengadakan gotong-royong termasuk membersihkan kawasan awam seperti taman permainan dan sistem perparitan.

Katanya, usaha membasmi dan mencegah wabak denggi adalah tanggungjawab semua pihak bagi memastikan kes demam denggi dikawal.

"Bagi enam bulan pertama tahun ini, kita melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi menerusi semburan kabus di 556,014 premis dan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 222,578 premis.

"Sementara itu, sebanyak 96,226 premis kediaman dan perniagaan diberi ubat abate bagi memusnahkan jentik-jentik. Sehingga kini, sebanyak 337 aktiviti gotong-royong dicatat dengan pembabitan 18,432 penduduk," katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagi memastikan masyarakat bebas denggi, Dr Zainal Ariffin meminta mereka mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital jika mengalami demam kuat secara tiba-tiba, disertai sakit kepala atau sakit badan dan sendi.

"Orang ramai juga diminta mengambil langkah pencegahan iaitu dengan meluangkan masa selama 10 minit setiap hari minggu untuk membersihkan kawasan kediaman.

"Jika ada wabak, gotong-royong secara besar-besaran dapat membantu menghapuskan tempat pembiakan dalam skala besar," katanya.

Berita Harian X